Mohd Azam Shah Yaakob dan Muhaamad Hafis Nawawi


“TOLONG... sakit.” itu jeritan terakhir Wan Hasheliza Wan Ibrahim, 29, selepas tersepit apabila ditimpa runtuhan tangga separa siap rumah teres dua tingkat dalam pembinaan di Kampung Matang Pagar di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, mangsa yang sarat lapan bulan bersama suaminya Shahril Apipie Mokhtar, 29, maut dipercayai akibat terkena renjatan elektrik.

Turut maut ialah Mohd Radzi Abdul Aziz, 35, dan warga Indonesia Bambang Sulisto, 39.

Saksi kejadian, Mohd Haziq Haikal Jamri, 15, berkata sebelum kejadian dia membersihkan kawasan terbabit dengan mengalihkan kayu sebelum pulang ke kediamannya di belakang rumah mangsa.

Katanya, tidak lama kemudian dia terkejut selepas terdengar bunyi dentuman dan terus bergegas ke luar untuk melihat apa yang berlaku.

“Ketika itulah saya terdengar kakak (Wan Hasheliza) menjerit meminta tolong dan memberitahu sakit.

“Suaminya pula ketika itu sedang cuba menyelamatkannya sebelum jiran lain juga datang membantu,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini, semalam.


JIRAN mangsa turut maut terkena renjatan elektrik ketika cuba membantu. FOTO Syarafiq Abd Samad

Bagaimanapun, katanya, keadaan kecoh itu tiba-tiba bertukar senyap dan mereka tidak bergerak serta kaku sebelum terlihat tangan jiran terkulai.

Sementara itu, ibu kepada Haziq, Norazila Saad, 34, berkata pasangan suami isteri terbabit menyewa di rumah berkenaan sejak Disember lalu.

“Saya memang rapat dengan pasangan ini dan wanita terbabit sedang mengandung anak sulung mereka.

“Dia juga kelihatan gembira mengemas barang untuk balik ke kampung di Kelantan bagi menyambut Hari Raya Haji dan bersalin di sana,” katanya.

Katanya, jirannya berkenaan sempat meminta dia memasak pulut berinti kelapa dan ikan masin, kelmarin kerana berkemungkinan mengidam.

“Sepatutnya dia menjamah (pulut berinti kelapa dan ikan masin) petang ini (semalam), namun tidak kesampaian malah saya juga sudah siap memasak pulut itu.

“Sepanjang mengenali mereka, pasangan terbabit sangat baik dan tidak kedekut,” katanya ketika ditemui.

Pilu tak berdaya bantu abang ipar

DETIK memilukan buat seorang lelaki apabila melihat abang ipar dan dua jirannya maut terkena renjatan elektrik ketika mahu menyelamatkan seorang wanita hamil, semalam.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, wanita berkenaan tersepit di bawah runtuhan tangga sebuah rumah teres dua tingkat dalam pembinaan di Kampung Matang Pagar di sini, semalam.

Malah, Rahmat Selamat, 33, berkata, dia bersama dua jiran lain hanya mampu menunggu sebaik menyedari abang iparnya, Mohd Radzi Abdul Aziz, 35, dan tiga jirannya berada dalam keadaan kaku.

Katanya, ketika kejadian dia bersama abang iparnya dan dua lagi lelaki sedang memotong rumput sebelum terdengar bunyi dentuman kuat selain suara wanita menjerit.

“Ketika kami sedang memotong rumput, tiba-tiba terdengar bunyi dentuman dan disusuli suara wanita menjerit.

“Kami berempat termasuk arwah abang ipar terus berlari ke arah bunyi berkenaan sebelum mendapati berlaku runtuhan di salah satu unit rumah yang terletak 20 meter dari lokasi kami,” katanya.


WAN Hasheliza dipercayai sedang makan durian di bawah tangga itu sebelum tiba-tiba ia runtuh. FOTO Syarafiq Abd Samad

Katanya, sebaik mereka berempat sampai di rumah berkenaan, dia melihat jirannya, Shahril Apipie Mokhtar, 29, menyelinap masuk ke bawah runtuhan tangga konkrit bagi menyelamatkan isterinya Wan Hasheliza Wan Ibrahim, 29.

Katanya, mereka kemudian cuba mengangkat runtuhan berkenaan bersama jiran warga Indonesia Bambang Sulisto, 39, yang datang untuk membantu.

“Pada waktu itu, kami berlima cuba mengangkat runtuhan dari sebelah hadapan tangga, namun gagal sebelum Bambang dan abang ipar saya masuk ke dalam rumah untuk mengangkat runtuhan dari dalam.

“Namun, sebaik Bambang memegang batu, dia menjerit ‘karan’ (arus elektrik) sebanyak dua kali sebelum melihat lelaki itu serta abang ipar kaku terdiam, tidak bergerak,” katanya.

Rahmat berkata, pada waktu itu mereka menyedari terdapat arus elektrik di situ dan cuba memanggil nama Bambang dan Radzi beberapa kali, namun tidak berjawab.

“Kami hanya mampu melihat sahaja mereka, tanpa dapat membantu apa-apa kerana khuatir terkena arus elektrik berkenaan,” katanya.


RAZALI (kiri) melihat keadaan tangga runtuh di Kampung Matang Pagar, Sungai Buloh. FOTO Syarafiq Abd Samad

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Julai 2019 @ 6:30 AM
KEADAAN tangga runtuh yang mengorbankan empat nyawa di Kampung Matang Pagar, Sungai Buloh. FOTO Syarafiq Abd Samad