LAPORAN portal Harian Metro mengenai dua anggota tentera dilaporkan hilang ketika melaksanakan tugas operasi di Pulau Perak, Kedah sejak Jumaat lalu.


“NALURI keluarga yakin Moses selamat ketika ini,” kata Anita Sari, 59, ibu kepada anggota tentera, Lans Koperal Moses Logers, 25, yang dilaporkan hilang ketika menjalankan operasi di Pulau Perak, Kedah.

Anita mengakui, berita kehilangan anak bongsu daripada lima beradik itu mengejutkan mereka sekeluarga.

“Sejak itu, saya tidak pernah berhenti berdoa. Saya sangat berharap anak saya akan ditemui dengan selamat.

“Saya sangat sedih, semoga dia dapat ditemui secepat mungkin,” katanya ketika dihubungi.

Moses dari Kampung Senibong, Bau, Sarawak yang juga anggota Batalion Keempat Rejimen Renjer Diraja (RRD) dilaporkan hilang bersama rakannya, Koperal David Edmund Rapi, 29, yang berasal dari Dalat Jumaat lalu.

Mereka yang masing-masing berketurunan Bidayuh dan Melanau dikatakan dilihat kali terakhir di blok penginapan pulau terbabit 5 petang pada hari kejadian ketika anggota sedang berehat.

Sehingga kini, kedua-duanya masih belum ditemui dan pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung kejadian itu.

Anita berkata, ahli keluarganya juga sudah berhubung dengan pihak ATM bagi mendapatkan perkembangan berkenaan Moses.


GAMBAR kenangan Moses dan bersama Jessie. FOTO Melvin Joni

Sementara itu, teman wanita Moses, Jessie Rowena, 24, memohon agar orang ramai mendoakan keselamatan kekasihnya itu bersama David.

Katanya, kali terakhir mereka berhubung sebelum Moses pergi operasi dan dia dimaklumkan oleh kekasihnya itu bahawa tempat operasi tidak ada talian telekomunikasi.

“Saya berharap pihak penyelamat akan menemui Moses dengan segera dalam keadaan selamat dan sihat,” katanya.

Pulau Perak adalah pulau batuan granit seluas satu kilometer yang terletak di perairan terhujung barat Semenanjung Malaysia, di perairan Selat Melaka dan juga kawasan perlindungan marin.

Berita berkaitan

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Julai 2019 @ 5:48 PM