ROSDIANTI di sisi jasad anaknya, Angelliena. FOTO Hazsyah Abdul Rahman
Hazsyah Abdul Rahman


SEORANG kanak-kanak perempuan maut selepas terjatuh ke dalam sungai ketika melalui jambatan gantung rosak di Kampung Porotawoi, pekan Tongod, Kinabatangan, semalam.

Dalam kejadian 12 tengah hari itu, mangsa Angelliena Juilan, 6, dikatakan terus tenggelam di dasar sungai sebelum ditemui terapung oleh penduduk kampung yang membantu mencarinya.

Bapa mangsa, Juilan Razali, 31, berkata, ketika kejadian, dia yang berada di tempat kerja terkejut selepas dihubungi isterinya memaklumkan kejadian menimpa anak mereka.

Katanya, dia diberitahu beberapa rakan anaknya terlihat Angelliena terjatuh melalui lubang di jambatan yang rosak.

“Isteri menghubungi saya maklumkan kejadian ini dan saya terus bergegas pulang ke kampung sebelum ke klinik kesihatan.

“Tapi, apabila saya sampai, anak kedua saya sudah tiada. Kami tidak menyalahkan mana-mana pihak dan kami reda dengan kejadian ini,” katanya ketika ditemui di rumah keluarga itu, hari ini.

Juilan berkata, ketika kejadian, anaknya itu dalam perjalanan pulang dari prasekolah bersama rakan sekolahnya seperti biasa.

Katanya, ketika ditemui, Angelliena masih memakai beg sekolah kedap udara dan percaya itu mungkin menyebabkan mayat anaknya timbul dengan cepat.

“Saya diberitahu, anak saya ditemui kira-kira tujuh meter dari lokasi dia terjatuh selepas tenggelam hampir 45 minit,” katanya.

Sementara itu, ibu mangsa, Rosdianti Titi, 28, yang masih bersedih dengan kejadian itu berkata, dia amat terkilan dengan kejadian itu.

Katanya, sebaik diberitahu kejadian itu, dia terus berlari ke sungai untuk mencari anaknya.

“Namun sebaik sampai, saya lihat Angelliena sudah diletakkan di dalam perahu dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Tiada apa yang boleh saya lakukan walaupun kami menghantarnya ke klinik, doktor mengesahkan dia sudah meninggal dunia,” katanya.

Rosdianti berkata, mangsa adalah anak kedua dari tiga beradik dan amat rapat dengannya.

Katanya, anak sulungnya berusia sembilan tahun manakala anak bongsu baru berusia lapan bulan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Julai 2019 @ 5:49 PM