MANGSA. FOTO Ihsan Polis
Nurul Fatihah Sulaini


WANITA cedera di bahagian muka dan tangan selepas ditikam bekas suami kerana enggan rujuk semula di sebuah kedai makan di Pantai Air Tawar, Jertih, petang ini.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, kejadian berlaku ketika mangsa berusia 28 tahun itu sedang bekerja di kedai makan terbabit.

“Suspek datang ke kedai itu untuk rujuk semula dengan mangsa, tetapi hasratnya itu ditolak dan suspek terus bertindak menikam mangsa menggunakan pemutar skru di bahagian muka dan tangan mangsa,” katanya.

Mohd Zamri berkata, mangsa mengalami luka di bahagian bawah mata kanan, luka di tangan kanan dan kiri selain di kening kiri dan dihantar orang awam ke Hospital Besut untuk rawatan.

“Majikan mangsa menerima panggilan pada jam 4.35 petang memaklumkan pekerjanya ditikam lalu membuat laporan polis jam 4.54 petang,” katanya.

Susulan kejadian itu pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut menjalankan gerakan mengesan suspek berusia 31 tahun.

“Suspek yang juga seorang nelayan beralamat Kuala Besut kemudian berjaya ditahan sekitar jam 5.20 petang di tepi Jalan Cawat, Kuala Besut, Terengganu.

“Kita turut merampas barang kes seperti sebatang pemutar skru, kunci motosikal dan sebuah motosikal jenis Yahama. Ujian saringan air kencing suspek negatif dan tiada rekod kesalahan lampau,” katanya.

Mohd Zamri berkata kes disiasat mengikut seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera menggunakan senjata atau lain-lain benda berbahaya.

Beliau berkata, mangsa berkahwin dengan suspek pada November 2014 dan mempunyai seorang anak perempuan berusia empat tahun sebelum bercerai pada Julai 2017 di Mahkamah Syariah Besut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Julai 2019 @ 9:32 PM