HANA (kiri) bersama adiknya Hani ketika ditemui di Seksyen 11, Shah Alam. FOTO Sairien Nafis
HANA (kiri) bersama adiknya Hani ketika ditemui di Seksyen 11, Shah Alam. FOTO Sairien Nafis
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


“MAMA dan baba pergi teman atuk (kenalan rapat bapanya) ke syurga,” kata Hana Safiyyah Muhammad Hamadi, 6, ketika mengiringi jenazah ibu bapanya untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam, Selangor, kelmarin.

Hana Safiyyah adalah anak sulung kepada Nur Syuhadah Zaini, 31, dan suaminya, Muhammad Hamadi Zakaria, 31, yang maut dalam kemalangan membabitkan tiga motosikal di Lebuhraya Persekutuan, Petaling Jaya, kelmarin.

Kanak-kanak itu dan adiknya, Hani Safina, 2, menjadi yatim piatu sekelip mata apabila ibu bapa mereka meninggal dunia dalam kemalangan berkenaan.

Adik kepada arwah Nur Syuhadah, Aizad Ahmad Zaini, 30, berkata, kedua-dua anaknya itu bagaikan mengerti pemergian ibu bapa mereka.

“Kanak-kanak terbabit turut melihat jenazah ibu dan bapa mereka selepas proses bedah siasat.

JENAZAH kedua-dua mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam.
JENAZAH kedua-dua mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam.

“Hana dan Hani hanya mampu menangis, dia (Hana) juga ada beritahu mama dan baba teman atuk iaitu kenalan rapat ayahnya ke syurga,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Aizad berkata, anak saudaranya itu juga ada bertanya di mana mama ketika sarapan pagi semalam.

“Kebiasaannya, memang kakak saya yang buatkan dia sarapan, pagi tadi (semalam) dia tanya di mana mama.

“Hari ini (semalam) saya bawa kedua-dua anak saudara bersiar-siar bagi mengurangkan kesedihan mereka,” katanya.

Katanya, setakat ini Hana Safiyyah dan Hani Safina dijaga ibu bapa arwah Nur Syuhadah memandangkan ibu dan bapa arwah Muhammad Hamadi menunaikan haji.

“Selepas ini, baru ahli keluarga berbincang mengenai penjagaan Hana dan Hani.

“Arwah Muhammad Hamadi juga sudah membayar yuran tadika Hana selama setahun, sebelum kejadian berlaku,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shariat berkata, dua individu yang parah dalam kemalangan membabitkan tiga motosikal di lorong motosikal di Petaling Jaya, kelmarin masih dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di sini.

“Keterangan kedua-dua mangsa akan diambil dalam masa terdekat selepas keadaan mereka stabil,” katanya.

AHLI keluarga dan kenalan memberi penghormatan terakhir di Madrasah Hidayah Seksyen 11.
AHLI keluarga dan kenalan memberi penghormatan terakhir di Madrasah Hidayah Seksyen 11.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Julai 2019 @ 6:30 AM