DALAM kenangan Zahid (kiri) bersama bekas isterinya, Sarah (kanan).
Sudirman Mohd Tahir

PENYANYI Zahid mengesahkan sudah bercerai dengan pasangannya, Sarah Julifa Yusof pada 18 Julai lalu.

Zahid, 39, atau nama sebenarnya Ahmad Zahid Baharuddin berkata, sebelum bercerai dia dan Sarah sudah tidak tinggal sebumbung hampir setahun.

“Betul, saya sudah bercerai iaitu tiga hari sebelum hari jadi bekas isteri pada 21 Julai. Keputusan dibuat bersama dan kami selesaikan cara baik. Lagi pun, sudah hampir setahun kami tidak tinggal sebumbung.

“Perceraian adalah jalan terbaik buat kami. Kalau tidak, ia hanya akan lebih memudaratkan hubungan.

“Apa pun, kami masih baik demi anak. Sekarang pun, kami bergilir-gilir jaga anak,” katanya kepada Harian Metro.

Zahid yang juga bekas juara Akademi Fantasis musim kedua berkata, perceraian mereka bukan sebab orang ketiga atau bergaduh.

“Kami berpisah secara baik. Bukan sebab orang ketiga, gaduh atau apa-apa. Cuma, kami sudah tidak ada persefahaman dalam perkahwinan.

“Kalau ikutkan tak nak kecoh perkara ini tetapi tak tahu macam mana pihak media boleh hidu. Alasan tak nak kecoh sebab mahu jaga perasaan kedua belah pihak terutama anak kami.

“Bukan apa, kalau dia sudah boleh membaca, nanti jadi tak selesa pula. Apa pun, doakan sahaja yang terbaik buat kami,” katanya.

Zahid dan Sarah mendirikan rumah tangga pada 2013 dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Zareef Nufael yang kini berusia lima tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Julai 2019 @ 5:56 PM