GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


PELAKON lelaki ditahan malam tadi, selepas membelasah bekas tunangnya berikutan berang apabila wanita itu memintanya memutuskan hubungan songsang dengan kenalannya, 26 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, pelakon lelaki berusia 27 tahun itu dikatakan datang ke rumah bekas tunangnya berusia 23 tahun di Taman Puncak Jalil, Seri Kembangan, Serdang, kira-kira 9 pagi hari kejadian.

“Bekas tunangnya yang juga pelakon mendakwa dipaksa masuk ke dalam kereta sebelum suspek terus memaki wanita berkenaan menggunakan kata-kata kesat.

“Difahamkan pergaduhan itu berpunca daripada tindakan wanita berkenaan yang meminta suspek untuk tidak meneruskan hubungan songsang pelakon dengan kenalannya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ismadi berkata, suspek yang bengang dengan permintaan wanita itu kemudian bertindak mencekik leher, menumbuk muka, mencengkam mata serta menumbuk mulut mangsa sehingga berdarah.

“Wanita terbabit ada mengambil gambar, namun dipadam oleh suspek secara senyap selain diugut oleh suspek berkenaan.

“Mangsa dirujuk ke Hospital Serdang untuk rawatan lanjut, namun tiada kesan kecederaan kerana kejadian itu sudah lama berlaku,” katanya.

Beliau berkata, suspek ditahan selepas datang menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang untuk diambil keterangan, malam tadi.

“Hasil soal siasat dilakukan, suspek mengaku memukul mangsa. Bagaimanapun, suspek kemudian dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangannya diambil.

“Siasatan lanjut berhubung kes ini sedang dijalankan mengikut Seksyen 323 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan sengaja dan melakukan ugutan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Julai 2019 @ 9:42 PM