KAKAK menukar lampin adiknya yang berusia setahun selepas JKM dan anggota polis menyelamatkan mereka lapan beradik daripada ibu bapa yang dipercayai terbabit penyalahgunaan dadah di Bukit Rambai. FOTO Khairunisah Lokman
Nur Saliawati Salberi


IBU bapa kepada lapan beradik termasuk dua bayi lelaki yang diselamatkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka Tengah, awal pagi semalam, didapati positif dadah.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, ketika serbuan dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Melaka Tengah bersama anggota dari Balai Batang Tiga, dalam Op Tapis pihaknya menemui satu peket plastik lut sinar dipercayai mengandungi dadah.

“Hasil pemeriksaan di dalam rumah didiami pasangan suami isteri berusia 43 dan 38 tahun itu, polis menjumpai satu peket plastik lutsinar disyaki mengandungi dadah jenis syabu seberat kira-kira 0.15 gram.


KEADAAN bilik di rumah lapan beradik. FOTO Khairunisah Lokman

“Malah hasil ujian saringan air kencing dilakukan mendapati suspek wanita positif dadah jenis syabu manakala suaminya positif ganja,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Afzanizar berkata, semakan dilakukan turut mendapati suspek lelaki mempunyai enam rekod lampau termasuk satu kes dadah.

“Kedua-dua mereka kini direman selama empat hari sehingga Rabu ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Dipercayai kedua-dua mereka mengambil barang terlarang ini di dalam rumah,” katanya.


KANAK-kanak berusia lima tahun (kiri) dan tiga tahun (kanan) ditemui dalam kelaparan. FOTO Khairunisah Lokman

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Julai 2019 @ 5:01 AM