Redzuan Muharam


“SUDAH menjadi tanggungjawab saya untuk membantu penumpang, termasuklah jemaah haji yang berada di dalam kesulitan ketika berada di dalam lapangan terbang,” kata Hamdan Maarof.

Hamdan, 55, mengulas mengenai tindakannya membantu seorang jemaah haji lelaki warga emas yang hampir terjatuh ketika menaiki eskalator untuk ke balai pelepasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang, Selangor.

Kecekapan Hamdan bertindak membantu jemaah berkenaan mendapat pujian warganet selepas rakaman video itu dimuat naik di akaun Twitter Malaysia Airports tengah hari semalam.

Setakat 5 petang ini, video berkenaan meraih 41,200 tontonan ,lebih 2600 ulang ciap dan 2300 tanda suka.

Menceritakan perkara sebenar, Hamdan yang berkhidmat di Bahagian Khidmat Terminal (TSD) Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) berkata , kejadian itu berlaku pada 30 Julai (kelmarin) kira-kira jam 5 pagi ketika dia sedang bertugas di hadapan eskalator berkenaan.

“Kebetulan, saya dan beberapa kakitangan lain sedang bertugas disitu pada hari kejadian dan selepas melihat salah seorang jemaah hampir terjatuh, saya terus berlari ke eskalator untuk membantunya.

“Ini kali pertama saya berdepan situasi seperti itu dan ia berlaku secara spontan kerana menjadi tanggungjawab saya serta semua kakitangan untuk menawarkan bantuan kepada mana-mana jemaah yang mengalami kesulitan untuk berjalan atau menaiki eskalator.

“Kita enggan kejadian buruk berlaku kerana mereka (jemaah haji) sudah separuh perjalanan apabila berada di lapangan terbang malah ada yang sudah menunggu bertahun-tahun untuk mengerjakan ibadat itu jadi saya perlu membantu supaya hajat sampai ke tanah suci tercapai,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.


RAKAMAN video yang tular. FOTO Facebook

Menurut Hamdan, dia berterima kasih kepada warganet yang memberi sokongan kepadanya di laman sosial selepas menonton rakaman video berkenaan.

Namun, Hamdan berkata, penghargaan itu seharusnya diberikan kepada semua, bukan dirinya seorang saja.

“Saya tidak tahu menahu mengenai video berkenaan sehingga selesai syif kerja, itu pun selepas rakan dan pengurusan mengucapkan tahniah.

“Bagi saya, semua kakitangan melakukan tugas dengan baik justeru pujian dan penghargaan itu bukan untuk saya saja tetapi rakan yang lain juga.

“Terima kasih kepada semua dan penghargaan ini akan memberi semangat untuk saya meningkatkan mutu perkhidmatan,” katanya yang sudah 15 tahun berkhidmat dengan MAHB.

Dalam pada itu, Malaysia Airports turut mengucapkan tahniah di atas kecekapan Hamdan membantu jemaah terbabit menerusi ciapan dimuat naik di akaun rasmi Twitter semalam.

“Syabas diucapkan kepada warga kerja Malaysia Airports di KLIA,Hamdan Maarof kerana tindakan pantasnya berjaya menyelamatkan seorang penumpang jemaah haji daripada terjatuh dari eskelator di Gate C11 pagi tadi (pagi kelmarin),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Ogos 2019 @ 9:06 PM