Syed Ahmad Zulkarnain

SATU gempa bumi kuat berukuran 7.4 magnitud menggegarkan Jakarta dan beberapa wilayah berhampiran sebentar tadi.

CNN Indonesia melaporkan, gegaran kuat dirasai selama beberapa minit pada 7.05 malam (waktu tempatan) menyebabkan beberapa orang ramai panik dan berlari keluar dari bangunan tinggi.

Menurut agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik Indonesia, pusat gempa bumi itu dikesan di wilayah barat daya Sumur, Banten dan berukuran 7.4 magnitud.

Gegaran kuat juga dirasai di Depok, Bekasi dan Jawa Barat.

“Gempa bumi ini berpotensi mencetuskan tsunami,” kata agensi itu.


ROMBONGAN media dari Malaysia keluar dari bangunan selepas selesai sesi temuduga bersama Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Rusdi Kirana (dua dari kanan). -FOTO Tuan Mohd Asri Tuan Hussein

“Gempa bumi ini berpotensi mencetuskan tsunami,” kata agensi itu melalui Twitter.

Gegaran kuat dirasai selama tiga hingga empat minit dan 20 orang termasuk 15 wartawan dari Malaysia yang segera bergegas turun dari tingkat lapan dan berkumpul di depan bangunan.

Pengarang Kumpulan Harian Metro, Tuan Mohd Asri Tuan Hussein, yang mengikuti rombongan editor dan wartawan Malaysia ke Jakarta melaporkan gempa bumi itu membuatkan mereka panik.

Katanya, ketika kejadian mereka baru selesai sesi temuramah dengan Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Rusdi Kirana di pejabat syarikat penerbangan Lion Air di Jalan Gajah Mada, di sini.

“Gegaran kuat dirasai selama tiga hingga empat minit. Kami lebih kurang 20 orang termasuk 15 wartawan dari Malaysia segera bergegas turun dari tingkat lapan dan berkumpul di depan bangunan,” katanya melalui aplikasi WhatsApp.

Seramai 15 editor dan wartawan dari Malaysia berada di Jakarta sejak semalam untuk melawat pejabat Lion Air.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Ogos 2019 @ 8:51 PM
PENDUDUK Jakarta keluar daripada rumah selepas dikejutkan gempa berukuran 7.4 magnitud. -Foto AFP