MANGSA yang cedera menerima rawatan di hospital.
Muhaamad Hafis Nawawi dan Hafidzul Hilmi Mohd Noor dan Nurul Hidayah Bahaudin


“IA tiba-tiba menggelongsor dengan laju dalam gelap menyebabkan semua diam terpaku sebelum terdengar suara mengerang kesakitan sebaik lif terhempas.”

Begitu kata Shmsul Nordin, 51, salah seorang mangsa kejadian lif terhempas dari tingkat lima di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi di sini, semalam hingga menyebabkan lapan orang cedera.

Difahamkan, lif berkenaan terhempas dari ketinggian 15 meter di bangunan setinggi 17 tingkat berkenaan pada jam 2.30 petang.

Menurutnya, sebelum kejadian dia baru pulang selepas menunaikan solat Jumaat dan masuk ke dalam lif itu untuk pulang ke rumahnya yang terletak di tingkat lapan.


ANGGOTA paramedik membawa mangsa yang cedera ke dalam ambulans.

“Bagaimanapun, sebaik tiba di tingkat lima pintu lif terbuka dan secara tiba-tiba ia terhempas ke bawah.

“Selepas lif terhempas, saya cuba bangun untuk membantu orang lain, namun tidak mampu berdiri sebelum melihat kaki kiri terkulai.

“Ketika itu juga ramai mengerang kesakitan apabila kami bertindih sesama sendiri,” katanya ketika ditemui di Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini, semalam.

Shmsul yang bekerja sebagai pengawal keselamatan berkata, dia turut berasa sesak nafas ketika itu dan mujur penduduk dapat membuka pintu lif sebelum boleh bernafas semula dengan baik.

“Saya cuma mampu menarik nafas lega dan bersyukur masih hidup dan perlu menunggu keputusan x-ray kaki sama ada patah, retak atau tidak.

“Lagipun saya baru selesai menjalani pembedahan di lutut kiri, baru-baru ini, selain doktor memberitahu tisu leher turut terkoyak,” katanya.


MANGSA yang patah kaki dibawa ke unit kecemasan hospital.

Katanya, akibat kejadian itu dia terkilan kerana mungkin tidak dapat menghadiri majlis konvokesyen anak sulungnya, Muhammad Shah Effendy, 26, yang tamat pengajian di Politeknik Dungun, Terengganu.

“Saya sepatutnya ke sana (Politeknik Dungun) malam Ahad ini kerana majlis itu berlangsung keesokkannya, namun apakan daya tidak dapat hadir kerana kejadian ini,” katanya.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pantai Ramli Mohamed berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 2.40 petang.

Menurutnya, sebuah jentera bersama 20 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian lalu membuka pintu lif dan menemui mangsa di dalamnya.

“Berdasarkan maklumat awal, lapan individu di dalam lif berkenaan patah kaki, cedera di pergelangan kaki dan cedera di tangan.

“Mereka yang cedera dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menerima rawatan lanjut,” katanya.


PPR Kerinchi, Kuala Lumpur. FOTO Hafiz Sohaimi.

‘Suami,anak dah patah kaki’

Pihak berkuasa perlu mengambil tindakan segera terhadap kerosakan lif yang sering berlaku di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi di sini, bagi mengelak kejadian lebih buruk.

Penduduk, Haliza Hassan, 37, berkata, dia kecewa dengan apa yang berlaku kerana aduan sudah kerap dibuat kepada pihak berwajib berhubung kerosakan lif.

“Suami saya Mohd Riduan Norsani, 35, dan anak Mohd Haziq Zakwan, 10, patah kaki akibat kejadian berkenaan.

“Saya kecewa kerana saya sendiri yang membuat aduan di pejabat penyelenggaraan lif, namun sikap acuh tak acuh diambil penyelengara berkenaan,” katanya.


HALIZA

Sementara itu, penduduk lain, Idris Abd Samad, 60, berkata, kejadian sama turut berlaku di blok sama, tahun lalu, namun hanya cedera ringan,.

Menurutnya, secara kebiasaan, lif berkenaan akan diselenggara pihak berkaitan, namun rosak kembali beberapa hari kemudian.

Katanya, bangunan berkenaan mula dibina pada 2002, namun terbengkalai selama 10 tahun.

“Kami sudah tinggal di sini sejak 2012 lalu dan lif kerap rosak. Aduan sering kali dibuat, namun tiada tindakan diambil pihak kontraktor.

“Saya berharap tindakan tegas diambil terhadap kontraktor yang terbabit kerana mengakibatkan kecederaan kepada penduduk,” katanya.

gn4id:16867263

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Ogos 2019 @ 9:32 AM