CINTA abadi antara Peng dan Gao yang berkahwin selama 57 tahun. FOTO Weibo
CINTA abadi antara Peng dan Gao yang berkahwin selama 57 tahun. FOTO Weibo
Agensi

KISAH cinta abadi lebih banyak ditonton di televisyen berbanding realiti namun bagi pasangan warga emas ini yang berkahwin selama 57 tahun di China, membuktikan sebaliknya.

South China Morning Post melaporkan, wanita warga emas bernama Peng dimasukkan ke wad neurologi di Hospital Universiti Hong Kong-Shenzhen di wilayah Guangdong akibat pendarahan otak.

Dia yang tersedar selepas itu memberitahu jururawat mahu berjumpa suaminya, Gao yang koma di unit rawatan rapi dalam hospital sama, kata Weibo memetik hospital berkenaan.

Peng memanggil Gao ‘pak cik, pak cik,’ dengan perlahan sambil memegang tangan suaminya sepanjang pertemuan mereka selama 10 minit, lapor Southern Metropolis News.

Peng dimasukkan ke hospital pada 8 Julai lalu dan selepas hampir pulih, dia diberitahu suaminya yang berusia 80-an berada dalam wad lain kerana serangan jantung.

Keadaan Gao semakin merosot pada 17 Julai dan terpaksa menggunakan mesin untuk membantunya bernafas, kata laporan itu.

Otak Gao kekurangan oksigen selama 30 minit sewaktu kakitangan kecemasan berusaha memulihkan degupan jantungnya.

KAKITANGAN hospital membawa Peng bertemu dengan Gao. FOTO Weibo
KAKITANGAN hospital membawa Peng bertemu dengan Gao. FOTO Weibo

Anak perempuan pasangan itu berkata, ibu bapanya sudah berkahwin selama 57 tahun, hidup dalam aman dan saling menyokong antara satu sama lain terutama ketika kesihatan mereka merosot.

“Ketika ibu melihat bapa saya, dia terus memanggilnya ‘pak cik, pak cik’ dan tidak mampu berkata apa-apa lagi. Tubuhnya terlalu lemah.

“Pada masa itu, saya faham ia mungkin pertemuan mereka kali terakhir,” kata anak perempuan itu.

Ramai pengguna Weibo berkata, mereka menangis selepas melihat kesetiaan pasangan itu.

“Mereka adalah model cinta sejati,” tulis seorang pengguna.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Ogos 2019 @ 7:31 AM