AB RAHIM. FOTO Ihsan Keluarga
AB RAHIM. FOTO Ihsan Keluarga


BEKAS pensyarah Universiti kebangsaan Malaysia (UKM) yang kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Pamukkale Hospital University, Denizle, Turki memerlukan dana kewangan bagi menampung kos rawatan dan membawanya pulang ke Malaysia.

Prof Dr Ab Rahim Ismail, 62, yang juga Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Jabatan Penyelidikan dan Pembangunan, Universiti Antarabangsa Al-Madinah (MEDIU), Kuala Lumpur, dilaporkan tidak sedar sehingga kini selepas mendapat serangan jantung, 15 Julai lalu.

Difahamkan, beliau terjatuh terlebih dulu ketika mendapat serangan itu sehingga kepalanya terhentak di atas lantai yang menyebabkan kecederaan di bahagian otaknya.

Menantunya yang juga pensyarah, Muhamad Fikri Aziz, 33, berkata bapa mentuanya terbang di Turki bagi menghadiri jemputan khas satu majlis konvokesyen di Turki.

“Kos ayah ke sana semua ditanggung oleh pihak di Turki termasuk penginapan dan tiket penerbangan. Ayah juga turut membawa mak mentua (Faridah Tahir, 59).

“Selepas saja urusan rasmi habis, mereka kemudiannya makan angin di sekitar Denizle berikutan ayah masih dalam tempoh bercuti.

“Namun, ketika bersiar-siar di sana ayah tiba-tiba saja di serang sakit jantung sebelum tidak sedarkan diri,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Dalam pada itu, Muhamad Fikri yang berkahwin dengan anak kelima Ab Rahim, Jannah, 31 berkata, pihaknya sudah meminta bantuan daripada kedutaan Malaysia termasuk pihak Perdana Menteri melalui surat ketika lawatan rasmi di Turki.

“Namun, kami masih menunggu jawapan daripada mereka lagi. Selain itu, kita turut meminta bantuan Ahli Dewan Undangan Negeri yang memberitahu akan memaklumkan perkara itu kepada beberapa pihak kementerian.

“Cuma ketika ini kami menghadapi masalah komunikasi dengan doktor di sana. Nasib baik, ada pelajar Malaysia iaitu Izzah Atirah Abdullah di sana yang boleh berbahasa Turki dan menjadi pengantara kami,” katanya.

Katanya lagi, beliau termasuk 10 anak kepada Ab Rahim kini sedang mengumpul wang RM400,000 dan mengharapkan sumbangan daripada rakyat Malaysia.

“Doktor hanya membenarkan ayah pulang sekiranya ayah sudah sedar dan ‘fit to fly’. Kami memang mahukan dia mendapatkan rawatan di Malaysia.

“Jumlah itu agak tinggi berikutan ia termasuk perjalanan, kos rawatan, pembedahan serta doktor udara dan sewa peralatan untuk ayah. Memang ada penerbangan dari Denizle ke Subang Jaya menggunakan perkhidmatan ambulans udara, namun jumlah itu terlalu tinggi.

“Setakat ini, kami baru saja berjaya mengumpul RM38,000. Sekiranya, wang diterima melebihi dari yang sepatutnya, kami akan menyalurkan wang itu kepada mereka yang memerlukan rawatan,” katanya.

Orang ramai yang boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank 512268522574 milik Muhamad Fikri yang bertindak sebagai pemegang amanah.

Ab Rahim mempunyai kepakaran tinggi dalam Bahasa Arab membolehkan beliau dilantik sebagai penyelia dan pemeriksa dalaman serta luaran tesis pelajar ijazah sarjana dan doktor falsafah di beberapa institusi pengajian tinggi dalam pengajian Bahasa Arab.

Beliau juga aktif menghasilkan buku, jurnal dan artikel berkaitan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Arab serta membentangkan kertas kerja dalam seminar pada peringkat tempatan dan antarabangsa.

Malah, beliau juga turut terbabit dalam memberi kertas cadangan bagi program diploma, ijazah sarjana muda termasuk doktor falsafah di Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Ogos 2019 @ 8:34 PM
Digital NSTP Subscribe