NOR Fadila menunjukkan perubahan positif di samping suaminya, Mohd Saiful. FOTO ihsan Nur Hasirah Che Par
NOR Fadila menunjukkan perubahan positif di samping suaminya, Mohd Saiful. FOTO ihsan Nur Hasirah Che Par
Siti Nor Hidayatidayu Razali


“ADIK saya masih terlantar dan dia perlu diuruskan 100 peratus oleh suaminya selepas dibenarkan pulang dua bulan lalu.

“Saya mengambil alih menjaga anak tunggal mereka memandangkan adik saya perlu penjagaan rapi termasuk memberi susu khas dan memakai lampin pakai buang,” kata Nur Hasirah Che Par, 30, kakak kepada Nor Fadilla, 28.

Nor Fadilla terlantar selepas tersedar daripada koma ketika berjuang melahirkan anak tunggalnya, Muhamad Syahmi Mohd Saiful secara pembedahan hampir sembilan bulan lalu.

Nur Hasirah berkata, adiknya kini berada di rumah ibunya di Kampung Kok Lintang, Gunong, dekat Bachok tidak boleh bercakap dan tidak mampu menggerakkan anggota badan serta bergantung kepada suaminya, Mohd Saiful Sudin, 29.

“Kami perlu menguruskannya kerana dia tidak boleh bergerak langsung termasuk untuk mendakap anak tunggalnya, namun faham apabila kami memberi arahan.

“Ketika awal pulang ke rumah, dia kerap menangis mungkin terlalu gembira dan sedih apabila dapat berjumpa anaknya setiap hari. Namun, kini wajahnya sentiasa ceria kerana dapat berada di sisi suami dan anak,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, dia sepenuhnya menjaga Muhamad Syahmi bagi meringankan beban Mohd Saiful yang perlu memberi sepenuh perhatian kepada isterinya.

Katanya, pada waktu malam, dia akan membawa Muhamad Syahmi pulang ke rumahnya yang tinggal berdekatan dan siang hari akan membawa bayi itu untuk berjumpa dengan ibunya.

“Sejak adik sakit, suaminya tidak dapat bekerja dan bergantung sepenuhnya kepada wang bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah RM350 sebulan, selain bantuan susu khas oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) serta dibeli sendiri,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghulurkan sumbangan di akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 0300941000166384 atas nama Mohd Saiful Sudin.

Akhbar sebelum ini melaporkan, Nor Fadilla koma selama empat bulan selepas mengalami komplikasi ketika melahirkan anak sulungnya November tahun lalu.

Sebaik tersedar, Nor Fadilla yang dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) dilihat menangis teresak-esak sehingga mengeluarkan suara kerana terlalu gembira apabila anak yang dilahirkan diletakkan di pangkuannya buat kali pertama.

Berita berkaitan

'Kali pertama' jumpa anak

Setia di sisi isteri koma [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Ogos 2019 @ 5:21 PM