WATAK Leftenan Hafiz dalam filem Coast Guard bukti kemampuan berlakon genre aksi. FOTO: Mahzir Isa
Ramlah Zainal


WATAK Tengku Zaril dalam drama bersiri popular Hati Perempuan yang bersiaran di Slot Akasia TV3 pada 2015 melonjakkan namanya di persada hiburan tanah air.

Malah, nama bekas finalis Hero Remaja ini mampu duduk sebaris dengan barisan kelompok hero popular sedia ada kerana impak drama terbabit.

Namun, selepas hampir sedekad dalam bidang seni, pelakon kacak, Saharul Ridzwan, 30, mengakui perlu ada strategi tersendiri untuk terus bertahan dalam bidang lakonan.

“Awal pembabitan dulu, saya terima apa saja tawaran yang datang. Malah, wajah saya juga kerap muncul di televisyen.

“Kini, penonton sudah bijak menilai dan meminati pelakon kerana kualiti lakonan dan bukan paras rupa semata-mata.

“Saya juga sudah faham permainan dan jatuh bangun dalam industri seni ketika ini. Saya percaya pelakon perlu ada strategi jika mahu bertahan dalam industri 10 tahun lagi,” katanya.

Ditanya sama ada dia kini lebih memilih, Saharul mengakui perkara itu malah tegasnya dia mencari naskhah yang mampu menarik perhatian penonton.

“Sebenarnya, saya tidak pernah berhenti berlakon kerana ia periuk nasi untuk menyara keluarga.

“Selepas drama bersiri Jangan Benci Cintaku dan drama bersiri 30 Pesanan Suara bersiaran di TV3, saya terbabit dengan Telefilem Remuk juga untuk TV3.

“Selain itu, dua projek drama bersiri Terlanjur Mencintaimu dan Dia Pengantinmu juga masih menanti tayangan di saluran RTM,” katanya.


KETIKA penggambaran filem Coast Guard di Langkawi. FOTO: Instagram Saharul Ridzwan

CABAR DIRI BINTANGI FILEM AKSI

Selepas sembilan tahun menanti, impian Saharul untuk beraksi dalam filem genre aksi kesampaian menerusi filem sulungnya berjudul Coast Guard.

Menerusi filem arahan Hashim Rejab itu, Saharul bergandingan dengan Julia Farhana Marin.

“Selama ini saya sering ditawarkan watak hero romantik dan kali ini mahu membuktikan kepada penerbit serta pengarah saya mampu berlakon genre aksi.

“Saya menjadikan pelakon Zul Ariffin sebagai contoh. Dia mampu bawa watak romantik dan genre aksi dengan baik,” katanya.

Bercerita mengenai watak, kata Saharul, dia diberi kepercayaan melakonkan watak Leftenan Hafiz yang juga pegawai di Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

“Sesi latihan untuk filem ini sudah berlangsung selama sebulan dan penggambaran filem pula sudah bermula bulan ini sehingga Oktober nanti di Pulau Langkawi.

“Apa yang mencabar ialah dari segi ketahanan mental dan pengendalian senjata. Kalau boleh saya mahu melakonkan babak aksi tanpa bantuan pelakon lagak ngeri tetapi perlu mendapat nasihat dan bimbingan pihak Maritim terlebih dulu.

“Tanggungjawab saya dalam filem ini juga besar kerana membawa nama agensi penguatkuasaan Maritim,” katanya.

Mengenai gandingan julung kali dengan Julia pula kata Saharul, dia tidak ada masalah mendapatkan keserasian dengan pelakon itu.

“Saya juga masih baru dalam infustri perfileman dan ini filem pertama. Pastinya kami saling bekerjasama untuk memberikan yang terbaik dalam filem ini.

“Begitu juga pengarah, saya sudah banyak kali bekerjasama dengan Hashim dan tahu cara dia bekerja,” katanya.

Filem Coast Guard dijangka ditayangkan di pawagam tanah air pada Ogos 2020.

Ia terbitan Arie Zaharie Production dan Flying Deal Sdn Bhd.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Ogos 2019 @ 6:00 AM