BANDAR Kuantan kelihatan jerebu selepas mencatatkan bacaan IPU 102 pada jam 12 tengah hari. FOTO ZULKEPLI OSMAN
Iskandar Shah Mohamed


INDERA Mahkota, Kuantan, Pahang mencatatkan bacaan indeks pencemaran udara (IPU) tidak sihat setakat jam 12 tengah hari, hari ini.

Berdasarkan bacaan dipaparkan menerusi laman web Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), Indera Mahkota merekodkan bacaan IPU 102.

Selain itu, sebanyak 67 lokasi lain merekodkan bacaan IPU sederhana antara 51 hingga 98.

Tiada lokasi mencatatkan bacaan IPU baik setakat ini.

Untuk rekod, bacaan IPU antara 0 hingga 50 adalah dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.

Mengikut ramalan cuaca yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), beberapa kawasan di Kedah, Pulau Pinang dan Perak mengalami jerebu hari ini.

Orang ramai boleh melayari laman sesawang http://apims. doe.gov.my untuk mengetahui maklumat IPU semasa yang dikemas kini setiap jam.

Maklumat cuaca terkini turut dipaparkan menerusi laman web MetMalaysia atau aplikasi myCuaca dan media sosial MetMalaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Ogos 2019 @ 12:32 PM