26 rakyat Malaysia yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz, Jeddah.
Yusri Abdul Malek


SERAMAI 26 rakyat Malaysia yang kononnya menerima visa Furada terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz, Jeddah selepas imigresen Arab Saudi mendapati nama mereka tiada dalam senarai visa haji.

Mereka datang dalam satu kumpulan menaiki penerbangan komersil dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum tiba di Jeddah, 7 malam semalam.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh berkata, semua jemaah haji itu bukan pergi melalui Tabung Haji (TH) dan sudah pasti mereka menggunakan visa Furada.

“Sebaik tiba dan pemeriksaan imigresen dibuat di Lapangan Terbang Jeddah, didapati nama mereka tiada dalam senarai yang menerima visa berkenaan.

“Berikutan itu mereka tidak dibenarkan memasuki Arab Saudi.

“Kita juga belum kenal pasti masalah teknikal visa jemaah berkenaan.

“Setakat ini, semua kebajikan jemaah terbabit dijaga dari segi makan minum,” katanya.

Katanya, walaupun mereka hadir bukan dengan TH tetapi kebajikan mereka tetap dijaga petugas haji di Jeddah.

“Berdasarkan maklumat, visa Furada untuk jemaah itu diuruskan sebuah syarikat namun wakil syarikat terbabit tidak terbang bersama jemaah berkenaan.

“Semua jemaah itu melalui proses imigresen biasa dan bukan melalui Laluan Makkah yang biasa dilalui jemaah haji kita.

“TH tidak boleh membantu kerana ia di bawah bidang kuasa imigresen Arab Saudi.

“Semua jemaah terbabit juga akan dihantar pulang ke tanah air malam ini,” katanya ketika ditemui di Makkah hari ini.

Menurutnya, keluarga semua jemaah itu tidak perlu bimbang kerana TH menjaga kebajikan mereka.

Lagi berita berkaitan Wasilah Haramain

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Ogos 2019 @ 4:30 PM