GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


KUANTAN: Lynas (Malaysia) Sdn Bhd bersama pemegang taruh lain akan memastikan segala arahan dan peraturan dipatuhi sekiranya lokasi fasiliti pelupusan kekal (PDF) baharu untuk menyimpan residu Water Leached Purification (WLP) diperlukan.

Pengarah Urusan dan Naib Presidennya Datuk Mashal Ahmad berkata, Lynas adalah kunci kepada potensi besar yang terus menyumbang dalam pembangunan ekonomi Pahang selaras beberapa pengumuman dibuat menteri pusat yang memberi penekanan terhadap potensi pelaburan nadir bumi itu.

“Kami percaya kerajaan Pahang dan komuniti perniagaan akan fokus kepada peluang untuk menjana pelaburan daripada operasi berterusan yang selamat daripada Lynas,” katanya dalam kenyataan kepada Harian Metro.

Menurutnya, Lynas sedang menunggu jawapan rasmi daripada kerajaan Malaysia berhubung pengurusan residu WLP atau sisa penulenan air larut lesap.

Katanya, pihaknya percaya kerajaan akan membuat keputusan berdasarkan pertimbangan sains dan kajian mendalam yang dilakukan menjurus kepada kebaikan semua pihak.

“Seperti yang dinyatakan sebelum ini, kami percaya kerajaan Malaysia akan buat keputusan menjurus kepada kebaikan Lynas dan masyarakat tempatan termasuk mereka yang bergantung harap kepada Lynas dalam kehidupan,” katanya.

Beliau berkata, Lynas turut memberi fokus kepada beberapa kajian saintifik termasuk terbaru dilakukan Jawatankuasa Eksekutif Penilaian Operasi Lynas Advance Materials Plant (LAMP).

Mashal berkata, sebagai sebuah syarikat yang sah di sisi undang-undang dan beroperasi sejak 2012, pihaknya menitik beratkan setiap kajian dijalankan termasuk yang terbaru dilakukan kerajaan Pakatan Harapan.

“Kajian terbaru ini mendapati operasi kami berada dalam risiko rendah dan patuh dengan segala peraturan ditetapkan.

“Ini termasuk tiga kajian saintifik operasi Lynas sebelum ini dan pandangan saintis kanan di Malaysia,” katanya.

Menurutnya, pihaknya sudah melengkapkan segala yang diperlukan termasuk dokumentasi bagi memperbaharui lesen.

Katanya, Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB) juga sudah menjalankan audit ke atas operasi Lynas dan menyatakan ia ‘sangat memuaskan’.

“Operasi kami bukan isu pada Pilihan Raya Umum ke-14 walaupun aktivis anti-Lynas mengakuinya waktu itu.

“Bagaimanapun sejak setahun lalu, wujud kempen dengan maklumat tidak tepat dilakukan mereka.

“Ia sangat mengecewakan kerana Malaysia mempunyai potensi untuk memainkan peranan penting dalam pengeluaran nadir bumi di dunia,” katanya.

Beliau berkata, Lynas akan terus mendidik dan memberi penerangan kepada masyarakat dan pemegang taruh mengenai kebaikan industri nadir bumi yang boleh membawa lonjakan ekonomi nasional serta keuntungan kepada masyarakat.

Mengulas mengenai sisa WLP, katanya, ia adalah satu daripada sisa dijana di Lynas.

“Berdasarkan komposisi kimianya, sisa WLP ialah bahan besi fostat. Sisa lain ialah Neutralisation Underflow Residue (NUF) dan gypsum sintetik.

“Kami sudah menjalankan penyelidikan mengenai keselamatan penggunaan semula kedua-dua sisa dan sudah mengenal pasti pelbagai aplikasi untuk WLP dan NUF,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Ogos 2019 @ 5:50 AM