GAMBAR David (berdiri hadapan kiri) sewaktu kecil bersama keluarga.
Mohd Roji Kawi


KUCHING: Perasaan keluarga dua anggota Batalion Ke-4 Rejimen Renjer Diraja yang hilang di Pulau Perak, Kedah sejak 20 Julai kini bercampur baur apabila operasi mencari dan menyelamat (SAR) menemui jalan buntu.

Bagi keluarga Koperal David Edmund Rapi, 39, mereka pasrah dengan kejadian namun masih mengharapkan keajaiban berlaku selepas lebih tiga minggu kehilangan dua anggota terbabit.

Bapa David, Edmund Rapi Edal berkata, dia sekeluarga reda walaupun menerima berita tiada sebarang bukti baharu ditemui dalam operasi SAR berkenaan.

“Saya difahamkan operasi sudah dilakukan di sekeliling pulau itu termasuk meliputi kawasan perairan yang puluhan kilometer luasnya.

“Siapa yang tidak mahu dia (David) ditemui selamat, tetapi dengan perkembangan terbaru selepas operasi SAR ditamatkan, saya bersedia menerima apa sahaja yang berlaku,” kata pesara polis itu ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching di sini, semalam.

Sebelum itu, Edmund bertemu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tupong, Fazzrudin Abdul Rahman dan Setiausaha Politik Ketua Menteri Maurice Giri yang menghulurkan sumbangan Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) kepada keluarga dua anggota tentera terbabit.


DAVID

Edmund berkata, dia bersama anaknya, Morni kini bersedia berangkat ke Semenanjung Malaysia untuk mengambil barangan peribadi milik David di kem tempatnya bertugas di Perlis.

“Kini kami hanya menunggu perkembangan selanjutnya. Jika tiada harapan untuk mereka ditemui selamat, kami akan mengambil barangan miliknya di sana (Perlis),” katanya.

Sementara itu, keluarga Lans Koperal Moses Logers, 25, pula mahu usaha mencari dua anggota tentera terbabit diteruskan selain turut mencadangkan pencarian dilakukan dengan kaedah alternatif.

“Kami merancang untuk mendapatkan khidmat bomoh bagi mengesan mereka. Saya secara peribadi merasakan, adik saya selamat (masih hidup),” katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan dua anggota tentera terbabit dilaporkan hilang ketika melaksanakan tugas operasi di Pulau Perak sejak 19 Julai lalu.

Ketiadaan David dan Moses dikesan pada lewat malam ketika ketua penempatan membuat pemeriksaan malam bagi mengira kekuatan.

Berikutan itu, Tentera Darat Malaysia (TDM) dengan kerjasama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menjalankan pencarian pada keesokannya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Ogos 2019 @ 5:50 AM