MAYAT mangsa.
Nur Saliawati Salberi


SEAKAN tahu dirinya akan pergi, meninggalkan ibunya, remaja perempuan yang maut dalam kemalangan meragut enam nyawa di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) Jelatang, malam tadi, berkali-kali bersalaman dengan ibunya ketika kali terakhir mereka berjumpa, semalam.

Dalam kejadian 9.30 malam itu, selain Alissa Azahar, 15, kakaknya Alia Azahar, 17, bapanya Azahar Ahmad, 57, ibu tirinya Halimahtun Aris Padzil, 24 dan emak saudaranya Habibah Ahmad, 62, maut selepas Isuzu D-Max dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan Mitsubishi Triton dinaiki dua beranak.

Turut maut dalam kemalangan itu pemandu Mitsubishi Triton, Wang Chow Kuang, 51, manakala anak perempuannya berusia 20 tahun parah.

Menurut Rosziati Muktar, 36, kali terakhir dia berjumpa dua anaknya adalah di rumah emaknya di Taman Kota Panorama, Yong Peng Johor, malam semalam.

Katanya, ketika bekas suaminya datang mengambil anak-anaknya jam 3.30 petang untuk dibawa pulang ke kampung bagi meraikan sambutan Aidiladha dia tiada di rumah kerana bekerja.

“Kali terakhir saya berhubung dengan anak kira-kira jam 6 petang, dia menghantar gambar melalui pesanan aplikasi WhatsApp memberitahu mereka berhenti makan.

“Dan kira- kira 10 malam ketika pulang dari kerja saya terkejut apabila menerima panggilan telefon daripada polis memaklumkan anak sudah tiada,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Melaka.

Katanya, kebelakangan ini anaknya ada menyuarakan hasrat untuk pergi bermain di taman tema dan dia sudah mengambil cuti untuk membawa mereka ke sana pada Selasa ini.

“Bagaimanapun hasrat saya tidak kesampaian kerana bapanya sudah mengambil mereka untuk dibawa pulang beraya.

“Walaupun sukar untuk menerima khabar berita ini namun saya reda,” katanya.

Berita berkaitan

[UPDATE] 5 sekeluarga maut tersepit

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Ogos 2019 @ 8:41 AM