RAKAMAN video pergaduhan akibat perlanggaran kenderaan yang tular di Facebook. FOTO Video Tular
Izlaily Nurul Ain Hussein


LAGI kes dipukul akibat masalah di atas jalan raya tular di media sosial Facebook, sejak malam tadi.

Kejadian dipercayai berlaku di Lebuhraya Second Link Iskandar Puteri-Tuas, Singapura di Iskandar Puteri, malam tadi, membabitkan seorang pemandu lelaki warga Singapura yang dipukul dua lelaki dipercayai penumpang dan pemandu bas.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, pihaknya mengesahkan ada menerima laporan dibuat mangsa berusia lingkungan 30-an itu.

Beliau berkata, kejadian dipercayai berpunca akibat pelanggaran kenderaan menyebabkan mangsa dimarah dan ditumbuk sebelum suspek beredar.

“Kita mengesahkan ada menerima laporan polis berkaitan kes itu pada 7.37 pagi tadi. Siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan,” katanya.

Menerusi video berdurasi 19 saat itu, mangsa dilihat berada di kenderaannya dan ditumbuk seorang suspek, manakala, seorang lagi suspek dilihat cuba menutup pintu kereta mangsa dengan kuat ketika kaki mangsa masih berada di luar kenderaan.

Kejadian itu dipercayai berlaku ketika kesesakan lalu lintas di kawasan berkenaan menuju masuk ke Singapura.

Insiden terbabit dirakamkan seorang pengguna jalan raya yang turut berada dalam kesesakan trafik itu.

Berdasarkan komen netizen, ada yang mendakwa kejadian itu berpunca apabila mangsa cuba memotong barisan ketika kesesakan sehingga berlaku perlanggaran kenderaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Ogos 2019 @ 6:12 PM