ANGGOTA pasukan keselamatan menjalankan misi pencarian di sepanjang laluan sungai.
Raja Noraina Raja Rahim & Hasbi Sidek


SEREMBAN: Gerak hati sekumpulan pendaki sukarelawan yang menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) Nora Anne Quoirin untuk membuat pencarian di tempat yang belum dimasuki mereka ternyata berjaya merungkai misteri 10 hari remaja warga Ireland berkenaan hilang.

Wakil kumpulan pendaki dari Kelab Mendaki Seremban, Kenny Chan, 43, berkata, ketika ternampak satu objek di laluan sungai pada jarak 20 meter, dia yakin ia adalah mayat.

“Kami tidak mendekatinya, tetapi terus memaklumkan penemuan itu kepada pihak berkuasa,” katanya.

Chan berkata, kumpulannya tidak berani mendekati lokasi mayat ditemui dan tiada individu lain di lokasi itu selain ahli kumpulannya.

“Tetapi saya tidak pasti jika ada individu lain yang terlebih dahulu menemui mayat berkenaan,” katanya.

Chan berkata, dia dan ahli kumpulannya memberi keterangan di Balai Polis Pantai, malam kelmarin bagi membantu pihak berkuasa menjalankan siasatan.

Menurut Chan, dia bersama 24 pendaki lain menyertai operasi SAR kira-kira 12 tengah hari di kawasan sungai.


POLIS menutup jalan berdekatan dengan lokasi Nora Anne ditemui.

“Kami melakukan pencarian mengikut laluan sungai sebelum berpecah kepada dua kumpulan bagi meluaskan kawasan pencarian,” katanya.

Katanya, dia bersama kumpulannya sudah menyertai operasi SAR berkenaan sejak Ahad lalu namun belum pernah ke kawasan berkenaan kerana sebelum ini membuat pencarian di kawasan yang lebih tinggi.

“Kami menyertai SAR sebagai sukarelawan sejak dua hari lalu (Ahad), tetapi pencarian hanya dilakukan di kawasan yang agak tinggi dan lebih ke tempat air terjun.

“Jadi, semalam (kelmarin) kami cuba ke tempat yang tidak pernah pergi (cari).

“Saya tidak tahu macam mana keadaan mayat. Kami tidak berani mendekatinya dan tanpa berfikir panjang, saya segera menghubungi polis,” katanya.

Sementara itu, seorang pendaki sukarelawan Shirley Yap, 50, berkata, dia dimaklumkan untuk mencari di kawasan air terjun itu, sejam sebelum mayat Nora Anne dijumpai.

Katanya, dia mendapat maklumat Nora Anne sangat gembira apabila diberitahu berhampiran dusun tempat dia menginap bersama keluarga terdapat air terjun.

“Oleh itu kita meramalkan besar kemungkinan dia ke tempat yang ada air.

“Kami melakukan carian di kawasan terbabit dengan mengikut aliran air ke bawah gunung,” katanya.

Nora Anne yang hilang sejak 4 Ogos lalu ditemui mati pada jam 1.57 tengah hari kelmarin, 2.5 kilometer dari lokasi penginapan remaja dan keluarganya di sebuah resort, dekat Pantai, di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Ogos 2019 @ 6:01 AM