POSTER wajah Nora Anne kelihatan di sekitar kawasan pencarian, kelmarin. FOTO Adzlan Sidek
Raja Noraina Raja Rahim dan Hasbi Sidek


POLIS menolak dakwaan Nora Anne Quoirin dilarikan, diculik dan dirogol selepas bedah siasat yang dijalankan di Seremban, tamat 9 malam tadi.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, laporan bedah siasat mendapati tiada kesan jenayah sama ada dirogol atau diculik pada badan remaja istimewa itu.

“Tiada kesan dirogol dan tiada kesan (perbuatan) jenayah. Hanya ada calar kecil pada kaki yang tidak menjurus kepada punca kematian,” katanya.

Menurut hasil bedah siasat yang memakan masa 10 jam semalam, remaja warga Ireland itu meninggal dunia akibat kebuluran dan tekanan dalam tempoh panjang, katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) di Seremban, hari ini.

Nora Anne ditemui Selasa lalu selepas 10 hari hilang.

Ditanya berhubung tindakan pengguna Twitter yang memuatnaik ciapan mendakwa remaja Ireland itu dirogol Orang Asli, beliau berkata, pihaknya sudah menerima laporan dan akan mengesan pemilik akaun laman sosial itu segera.


MOHAMAD Mat Yusop pada sidang media berhubung punca kematian Nora Anne. FOTO Hasriyasyah Sabudin

Sementara itu, mengulas berhubung pejabat pendakwa raya Perancis membuka siasatan jenayah terhadap kes Nora Anne, beliau memaklumkan tidak mengetahui mengenai perkara itu.

“Bagaimanapun pihak Perancis, Ireland dan United Kingdom terbabit dalam membantu siasatan kes ini,” katanya.

Tambah beliau, tiada halangan untuk keluarga Nora Anne menuntut mayat remaja itu dan ia boleh dilakukan pada pada bila-bila sahaja.

  • Lagi berita berkaitan Nora Anne Quoirin
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Ogos 2019 @ 3:21 PM