KEADAAN kenderaan terbabit kemalangan. FOTO Ihsan PDRM
Ramli Ibrahim


SUAMI isteri antara tiga maut, manakala 12 lagi cedera dalam kemalangan membabitkan kenderaan pelbagai guna (MPV) dengan van di Kilometer 15 Jalan Gua Musang-Kuala Lipis, berhampiran Kampung Lepan Jaya, Gua Musang, hari ini.

Kemalangan 4.50 pagi itu menyebabkan mangsa, Che Azmi Che Hamzah, 48, dan isterinya, Nor Hayati Mohamed, 43, berasal dari Taman Mesra, Gua Musang, manakala seorang lagi mangsa, namanya belum diperolehi, turut maut.

Sementara itu, 12 mangsa cedera menerima rawatan di Hospital Gua Musang (HGM) ialah tiga beradik, Mohamad Faris Faisal Che Azmi, 15; Mohamad Afiz Zulhilmi, 13; Nur Damia Sofea, 7.

Mangsa lain, Wan Zakiah Wan Abdul Razak, 39, dan lapan beradik, Siti Fatimah Zulfaizan, 15; Masyitah, 14; Khaulah,11; Solehah, 9; Mawaddah, 7; Sakinah, 5; Muhammad Saad, 3, dan Ahmad Zaid berusia setahun.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Mohd Taufik Maidin berkata, kejadian berlaku ketika kenderaan Toyota Avanza dinaiki pasangan bersama tiga anak mereka dalam perjalanan dari Kuala Lipis ke Gua Musang.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kawasan selekoh, kenderaan mereka hilang kawalan lalu memasuki laluan kanan sebelum bertembung dengan sebuah van Toyota Hiace dinaiki 10 sekeluarga dari arah bertentangan.

“Kejadian itu menyebabkan pemandu van dan penumpang Toyota Avanza, Nor Hayati yang parah di kepala maut di tempat kejadian.

“Pemandu Toyota Avanza, Che Azmi yang juga suami Nor Hayati meninggal dunia ketika menerima rawatan kecemasan di HGM,” katanya di Gua Musang, hari ini.

Mohd Taufik berkata, mayat tiga mangsa dihantar ke HGM untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya untuk dikebumikan.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Ogos 2019 @ 2:26 PM