X
Khairul Najib Asarulah Khan


PENCERAMAH bebas, Dr Zakir Naik dipercayai ke Bukit Aman, hari ini, bagi memberi keterangan susulan mengeluarkan kenyataan didakwa boleh mengancam keamanan negara.

Zakir dipercayai menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) berwarna gelap tiba di Bukit Aman jam 3 petang.

Sehingga jam 6.30 petang, lebih 20 media masih menunggu di pintu utama Bukit Aman selain mendapatkan pengesahan polis berhubung perkara itu.

Sebelum ini, penceramah bebas itu didakwa memberi kenyataan kontroversi terhadap kaum Cina di negara ini sebagai kenyataan balas kepada pihak mengarahkannya supaya keluar dari Malaysia.

Zakir dalam satu syarahan di Kelantan, minggu lalu, didakwa mengeluarkan kenyataan mengaitkan penganut Hindu di negara ini lebih percaya kepada Perdana Menteri India berbanding Tun Dr Mahathir Mohamad.

Susulan itu, polis menerima 115 laporan berkaitan Zakir dan polis membuka kertas siasatan terhadapnya mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan.

Namun, Rabu lalu, Zakir dalam satu kenyataan media mendakwa ceramahnya disalah tafsir dan sengaja diputar belit pihak tertentu.

Katanya, pengkritik memetik kenyataannya di luar konteks dengan tujuan mempolitikkan isu terbabit dan berniat jahat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Ogos 2019 @ 7:21 PM