Aksi pemain negara Mohd Nasip Mohammad Zain (jersi kuning) ketika cuba melepasi pemain Indonesia. - Ihsan FAM
Syazwan Msar


SKUAD bawah 18 (B-18) tahun negara terpaksa berjuang hingga 120 minit untuk mengesahkan slot akhir Kejohanan Bawah 18 (B-18) Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) selepas berjaya menewaskan Indonesia 4-3 pada perlawanan separuh akhir di Stadium Bing Duong, Vietnam, sebentar tadi.

Kejayaan itu membolehkan skuad kendalian Brad Maloney mengulangi pencapaian sama tahun lalu untuk mengekalkan kejuaraan selepas menewaskan Myanmar 4-3 pada edisi 2018.

Mohd Aiman Afif Md Afizul terlebih dahulu membuka tirai jaringan apabila berjaya menyumbat gol pertama pada minit 20 selepas menerima hantaran berpunca sepakan percuma kapten pasukan Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi.

Tersentak dengan jaringan itu, lawan yang dibimbing Fakhri Husaini cuba melancarkan serangan bertali arus sehingga berjaya menyamakan kedudukan pada minit terakhir separuh masa pertama menerusi rembatan Beckham Putra Supriadi.


Skuad negara mara ke final Kejuaraan Bawah 18 Tahun (B-18) Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2019. - Ihsan FAM

Separuh masa kedua pula menyaksikan Indonesia tampil lebih berkeyakinan dengan melancarkan serangan menerusi hantaran jauh bagi memerangkap pertahanan negara.

Namun, Luqman Hakim Shamsuddin yang dikawal ketat oleh pertahanan Indonesia berjaya meloloskan diri sebelum melepaskan rembatan untuk jaringan kedua skuad negara pada minit 54.

Penyakit skuad negara yang mudah leka apabila mendahului perlawanan akhirnya memakan diri apabila Indonesia menyamakan kedudukan menerusi Muhammad Fajar Fathur Rachman pada minit 79.

Skuad kendalian Maloney yang hilang arah terus dihukum apabila Muhammad Salman Alfarid menyumbat gol ketiga selang empat minit kemudian untuk kedudukan 2-3.

Ketika peluang skuad negara beraksi di pentas akhir seakan lebur, Haris Haiqal Adam Afkar muncul penyelamat apabila berjaya menyempurnakan sepakan penalti enam minit sebelum tamat perlawanan.

Haris Haiqal sekali lagi beraksi cemerlang untuk muncul wira menanduk masuk gol kemenangan pada minit 97.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Ogos 2019 @ 8:45 PM