Mahaizura Abd Malik dan Mohd Faliq Lajim


KUALA LUMPUR: Sesiapa saja boleh menjadi pelaksana badal haji walaupun tidak pernah sekalipun menunaikan haji.

Itu taktik penipuan badal haji menggunakan tukang sapu, pemandu dan pekerja hotel di Makkah yang tidak bertauliah sebagai pelaksana amanah orang ramai itu.

Mendedahkan penipuan itu, pendakwah bebas yang juga mantan Pengurus Besar Bimbingan Haji, Lembaga Tabung Haji Datuk Daud Che Ngah berkata, beliau sebelum ini mengenal pasti ramai individu tidak bertauliah dan berpengalaman hadir temu duga calon pelaksana badal haji bagi pihak syarikat agensinya.

“Saya sendiri pernah temu duga seorang pemandu yang niat menunaikan haji pun tidak tahu, tetapi menjadi pembadal kepada wakil pengutip wang badal haji.

“Ada juga baru tahun pertama pergi Makkah sudah cari lubang hendak buat badal haji. Dia kata campur buat sekali untuk diri sendiri dan untuk badalkan orang. Ini memang tak boleh,” katanya.

Menurutnya, mustahil mendapatkan pelaksana badal haji dalam jumlah yang ramai kerana peraturan ketat dikenakan kerajaan Arab Saudi dalam urusan terbabit.

“Seorang wakil pembadal haji mengutip wang untuk 50 ke 100 orang biasanya payah hendak dapat pelaksana seramai itu.

“Oleh itu, mereka upah ramai pemandu bas, tukang sapu dan pekerja hotel sedangkan orang ini bukan pakar dalam bidang haji,” katanya.

Menurutnya, kos sara hidup tinggi di Arab Saudi menyebabkan sukar mencari pelaksana badal haji yang jujur mengikut syarak.

“Ketika ini jika kita duduk di Arab Saudi, kos seharian memang tinggi, malah pihak kerajaan negara itu nampaknya tidak berapa seronok dengan kebanjiran pekerja asing.

“Penduduk tetap di sana pun menghadapi masalah. Setiap anak kena bayar levi RM300 sebulan, bayangkan jika ada empat anak.

“Jadi, kesempatan itu diambil peluang oleh pendatang yang masih sanggup menetap di Makkah. Kerjanya mengutip duit badal haji jemaah kononnya hendak buat badal haji, tetapi pelaksanaannya belum pasti,” katanya.

Oleh itu, katanya, kebanyakan pengutip wang badal haji terdiri daripada mereka yang belajar agama di Masjidil Haram secara talaqi.

“Mereka ini bukan penuntut sangat sebenarnya, tetapi sudah lama menetap di Makkah, kerjanya mencari wang dengan mudah hingga sanggup melakukan penipuan.

“Orang jenis ini macam penunggang agama, mereka tidak peduli lagi asalkan dapat duit dengan mudah untuk menyara kehidupan di Makkah,” katanya.

Beliau berkata, setiap pelaksana badal haji hanya boleh mengambil upah mengerjakan badal haji bagi seorang setiap tahun.

“Setahun seorang pembadal haji hanya boleh buat sekali saja untuk seorang. Ini yang selalu tidak betul.

“Mereka sanggup menjadi pelaksana syarikat berlainan. Kerjanya kutip sampai berpuluh orang, soalnya siapa buat badal haji ini?” katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai perlu semak bagi memastikan orang dilantik melaksanakan badal haji terdiri daripada mereka yang mahir dan bukan sekadar menangguk di air keruh.

“Jangan mudah terpengaruh dengan pujukan wakil yang budayanya sanggup menipu untuk dapatkan wang dengan cara mudah.

“Pastikan orang yang melaksanakan badal haji itu mahir dan betul-betul mahu melaksanakan badal haji kerana di sana, ada yang terima wang, tetapi tidak laksanakan amanah dengan jujur,” katanya.

Sementara itu, Daud berkata, tiada undang-undang khusus menjadi faktor penyebab badal haji dijadikan lubuk rezeki ramai pihak tidak bertanggungjawab.

Katanya, akta khusus perlu diwujudkan bagi memastikan kejadian penipuan berkaitan badal haji dapat dikekang.

Beliau berkata, di Malaysia tiada badan khusus mengawal badal haji, malah pihak Arab Saudi juga tidak mengawal badal haji di Makkah.

“Bagi saya, perlu wujudkan satu akta penguatkuasaan atau undang-undang di Malaysia mengikut syariah yang boleh mengambil tindakan ke atas pelaku penipuan ini dengan hukuman berat.

“Ia boleh diwujudkan dengan kerjasama Jabatan Waqaf, Zakat dan Haji serta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

“Lebih elok digabungkan juga dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dan Tabung Haji sebagai badan rasmi dalam urusan haji dan umrah di negara ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Ogos 2019 @ 6:01 AM