Zuliaty Zulkiffli


SEBAHAGIAN mimbar dan permaidani sebuah masjid di Kampung Padang Setol, Pedu, Padang Terap terbakar dipercayai perbuatan khianat hari ini.

Kejadian itu kes keempat masjid dibakar dalam tempoh seminggu dengan dua daripadanya berlaku di Pendang iaitu Masjid Pendang dan Masjid Sungai Rambai manakala satu lagi di Masjid Tok Keling, Jalan Alor Mengkudu, Alor Setar.

Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Noh Idris berkata, polis menerima panggilan orang ramai mengenai kebakaran itu pada 8.01 pagi.

Beliau berkata, kebakaran bermula dari atas mimbar masjid dan permaidani di bawah mimbar.

“Papan kenyataan digital (screen slide) yang diletakkan di bahagian atas dinding juga turut terbakar.

“Kita percaya kebakaran itu bermula dari mimbar,” katanya dalam kenyataan hari ini.


KEADAAN permaidani yang terbakar. FOTO ihsan PDRM

Noh berkata, kejadian itu disedari jemaah yang pertama sampai di masjid berkenaan.

Beliau berkata, jemaah itu sampai di masjid 5.40 pagi namun mendapati kawasan mimbar sudah terbakar.

“Pemeriksaan dilakukan mendapati bahagian permaidani mempunyai kesan terbakar.

“Masjid ditinggalkan dalam keadaan pintu tertutup tetapi tidak dikunci dan lampu semua dipadamkan,” katanya.

Noh berkata, punca kebakaran masih belum diperolehi dari Bahagian Forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah.

Beliau berkata, siasatan mendapati masjid itu tidak dilengkapi kamera rakaman litar tertutup (CCTV).

“Setakat ini tiada saksi melihat kejadian dan tiada barang berharga lain hilang.

“Forensik JBPM dan PDRM dipanggil untuk membantu siasatan dan punca sebenar kejadian masih dalam siasatan.

“Setakat ini belum ada tangkapan dilakukan,” katanya.

Noh berkata, siasatan juga dilakukan jika ada unsur khianat.

Berita berkaitan

Bukan dua, tapi tiga masjid nak bakar

Lelaki ditahan cuba bakar masjid [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Ogos 2019 @ 3:06 PM
PASUKAN bomba dan polis menjalankan siasatan kebakaran mimbar dan permaidani di Masjid Padang Setol. FOTO ihsan PDRM