CAPRICE. FOTO arkib NSTP
Siti Nor Hidayatidayu Razali


KUMPULAN Anak Kelantan Prihatin membuat laporan polis terhadap penyanyi rap, Ariz Ramli atau Caprice, semalam.

Laporan berkenaan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, 4.45 petang.

Jurucakap Kumpulan Anak Kelantan Prihatin, Norlida Daud berkata, laporan polis dibuat kerana penyanyi itu membuat kenyataan menghina rakyat Kelantan yang secara tiba-tiba tahu berbahasa Inggeris.

“Saya melihat rakaman penyiaran video dibuat di Instagram yang mengkritik kehadiran begitu ramai penduduk Kelantan pada program penceramah terkenal, Dr Zakir Naik di Stadium Sultan Muhammad IV, baru-baru ini.

“Kenyataan yang dibuat menyinggung kami sebagai rakyat Kelantan.

“Pada ruangan komen, penyanyi berkenaan mengeluarkan komen yang menghina dengan mengatakan Kelantan adalah negeri terbanyak mempunyai masalah dadah, pembuangan bayi dan pedophilia (kecenderungan seks kepada kanak-kanak),” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, sebagai pencinta keamanan, persatuan itu amat risau sekiranya tindakan ini akan mengundang suasana tidak baik dan persepsi buruk kepada masyarakat Kelantan.

Pada perkembangan yang lain, Caprice membuat permohonan maaf kepada rakyat Kelantan menerusi Instagramnya hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Ogos 2019 @ 6:26 PM