SKUAD B-18 negara tewas pada perlawanan akhir kejohanan AFF di Stadium Thong Nhat, Vietnam kelmarin.
Firdaus Hashim


FAKTOR kepenatan antara punca skuad bawah 18 (B-18) tahun negara tewas 0-1 di tangan Australia pada final kejuaraan Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) B-18 di Stadium Thong Nhat, Vietnam kelmarin.

Pengendali pasukan, Brad Maloney berkata, meskipun anak buahnya cuba bangkit pada babak kedua dengan memberi tentangan, kelekaan di hujung permainan ekoran keletihan menyaksikan kubu negara dihukum.

“Pada awalnya pemain saya seolah-olah ada sedikit masalah kecergasan dan ia mungkin disebabkan kami terpaksa beraksi 120 minit dalam aksi sebelum ini (separuh akhir).

“Ia bukan situasi mudah tapi pada babak kedua kami berjaya menemui rentak semula dan beri tekanan kepada mereka. Tapi itulah bola sepak apabila mereka mendapat satu peluang dan akhirnya berjaya menjaringkan gol,” katanya.

Bagaimanapun, beliau tetap berpuas hati dengan semangat juang pemain yang tidak pernah berputus asa sehingga wisel penamat.

“Australia pasukan kuat, mereka menjadi pilihan sejak dari hari pertama lagi hingga menjuarai kejohanan ini. Saya bangga dengan pemain saya, mereka sudah berikan yang terbaik. Malah, pada awalnya tiada siapa meletakkan harapan tinggi untuk kami melangkah ke final selepas mengetahui undian kumpulan yang menyaksikan kami dalam kumpulan maut.

“Jadi untuk pemain saya berjaya melangkah sejauh ini, ia sesuatu yang sungguh menakjubkan,” katanya yang akan membawa pasukan mengharungi kelayakan kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-19 pada November ini.

Selepas memerlukan 120 minit untuk menewaskan Indonesia 4-3 di separuh akhir Sabtu lalu, skuad kendalian Maloney gagal mengimbangi aksi bertenaga Australia yang nyata lebih bersedia untuk membalas dendam selepas dimalukan pasukan negara pada peringkat kumpulan 3-0 sebelum ini.

Biarpun diserang bertali arus, benteng negara tetap kekal ampuh bertahan sehinggalah pada minit ke-80 apabila Lachlan Brook memecah kebuntuan, sekali gus meranapkan impian Malaysia untuk mempertahankan kejuaraan sama yang dimenangi tahun lalu itu.

Sementara itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, beliau berpuas hati dengan pencapaian naib juara yang diraih skuad negara dan menuntut pemain memberi fokus pada pusingan kelayakan di Kemboja yang dijadualkan berlangsung pada 2 hingga 10 November ini.

“Kita tidak perlu menoleh ke belakang sebaliknya terus maju ke hadapan dengan jadikan kesilapan kekalahan ini sebagai iktibar untuk perlawanan lain selepas ini.

“Tahniah dan terima kasih kepada Brad dan barisan kejurulatihannya iaitu Khan Hung Meng dan Yong Wai Hwang serta pegawai lain diketuai pengurus pasukan yang juga exco FAM, Datuk Kamarul Ariffin Mohd Shahar yang turut sama bekerja keras sepanjang hampir dua minggu mereka berada di Vietnam,” jelas Hamidin menerusi posting terbaharu dalam laman Facebook FAM, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Ogos 2019 @ 5:40 AM