Redzuan Muharam


“SELAIN dapat membantu ayah, pekerjaan ini amat istimewa kerana memberi keinsafan dan mengingatkan saya mengenai kematian yang boleh datang pada bila-bila masa,” kata Muhammad Arif Afnan Kamalluddin, 21.

Muhammad Arif Afnan adalah penuntut Diploma Pengurusan Perniagaan Universiti Selangor (UNISEL) yang kini memanfaatkan cuti semester dengan membantu ayahnya, Kamalluddin Mohammed Yusof menyiapkan keranda ditempah waris si mati.

Anak kedua daripada empat beradik itu berkata, sejak berusia 13 tahun lagi, dia sudah didedahkan dengan proses dan kaedah pembuatan keranda.

Katanya, bertitik tolak dari situ, timbul minat dan keinginan untuk menguasai kemahiran itu walaupun tidak ramai anak muda seusianya cenderung dalam bidang berkenaan.

“Saya dibesarkan di gudang perkakas ini sejak kecil jadi secara automatik, minat dalam bidang pembuatan ada dalam diri.

“Disebabkan minat juga, saya memilih untuk membantu ayah berbanding melakukan pekerjaan sambilan di pusat beli belah, restoran makanan segera dan lain-lain lagi.

“Lagipun, ia satu keperluan dan saya pula anak sulung lelaki jadi rugi jika tidak mempelajari kemahiran ini daripada ayah yang sudah lama mengusahakan perniagaan perkakas rumah,” katanya ketika ditemui Harian Metro di rumahnya di Sungai Nibong, Sekinchan, hari ini.


MUHAMMAD Arif Afnan membantu bapanya, Kamalluddin membuat keranda. FOTO Roslin Mat Tahir

Berkongsi cabaran yang dilalui, Muhammad Arif Afnan berkata, kematian boleh berlaku pada bila-bila masa jadi dia dan ayahnya perlu sentiasa bersiap sedia untuk menerima tempahan daripada pelanggan, termasuk ketika hari cuti umum.

Katanya, tempahan itu juga perlu disiapkan dalam tempoh singkat bagi membolehkan proses pengebumian berjalan dengan lancar.

“Setiap tahun, ada saja tempahan yang kami terima pada hari raya pertama dan kedua kerana pada waktu itu, banyak kes kematian membabitkan kemalangan jalan raya.

“Urusan pengebumian perlu disegerakan, namun keadaan jadi lebih sulit pada musim perayaan kerana ramai yang masing-masing bercuti dan tidak dapat mengambil tempahan membuat keranda.

“Jadi, kami tiada pilihan kecuali mengetepikan persiapan menyambut Aidilfitri sehingga kerja selesai.

“Ada ketika, ayah menerima tiga tempahan dalam satu hari jadi saya perlu membantunya menyiapkan keranda itu dengan secepat mungkin,” katanya.

Muhammad Arif Afnan berkata, pekerjaan itu memberinya kepuasan kerana berpeluang menyediakan kelengkapan untuk si mati dan membantu waris yang memerlukan.


MUHAMMAD Arif Afnan memanfaatkan cuti semester membuat keranda. FOTO Roslin Mat Tahir

“Saya anggap kemahiran yang ada ini sebagai satu kelebihan kerana selalunya, mereka yang berumur dan masyarakat di kampung saja menceburinya.

“Kini, saya dapat membuktikan bahawa orang muda juga boleh melakukannya dan baru-baru ini, saya ada berkongsi pengalaman membantu ayah di Twitter.

“Tak sangka pula ramai yang mengulang ciap perkongsian saya itu dan lebih melucukan apabila ada yang menggelarkan saya dengan nama ‘Abang Keranda’,” katanya.

Sementara itu, bapanya, Kamalluddin, 49, berkata, dia menyedari minat Muhammad Arif Afnan dalam bidang pembuatan keranda sejak anaknya di bangku sekolah lagi.

“Dia sangat berminat dalam bidang ini dan tidak ketinggalan membantu saya menyiapkan tempahan setiap kali cuti semester.

“Sebagai bapa, saya perlu memberi tunjuk ajar dan salah satu tujuannya adalah untuk mencari pelapis yang boleh melakukan pekerjaan ini selepas saya tiada nanti.

“Lagipun, tugas ini lebih kepada memenuhi tuntutan fardu kifayah dan saya berharap dia (Muhammad Arif Afnan) dapat berkongsi ilmu dimilikinya dengan generasi akan datang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Ogos 2019 @ 9:01 PM