ZUL mahu bimbing bakal isteri, enggan kekasih peluk Islam semata-mata untuk berkahwin.


PENGUMUMAN dibuat pelakon popular, Zul Ariffin untuk menamatkan zaman bujang tahun depan pasti mengejutkan terutama peminat yang mengikuti perkembangan kerjaya seninya.

Siapa sangka, selepas sekian lama peminat menantikan detik melihat jejaka berusia 33 tahun ini berkahwin. Bagaimanapun, pelakon kacak ini enggan mendedahkan siapa gerangan ‘bunga’ yang berjaya menambat hatinya itu.

Zul berkata, dia kini sedang mempersiapkan diri menjadi pemimpin dan pembimbing untuk keluarga yang bakal dibinanya nanti.

“Bukan semua orang boleh menjadi ketua keluarga. Saya kini sedang berusaha mempelajari untuk menjadi seorang pembimbing yang baik untuk bakal isteri selain menggandakan usaha menjadi pemimpin berbanding urusan lain ketika ini.

“Apabila sudah berkahwin, saya nak jadi suami yang terbaik. Disebabkan itu, saya memandang tanggungjawab yang bakal dipikul ini sesuatu yang besar dan barangkali akan mengehadkan pergerakan dalam bidang hiburan selepas berkahwin nanti,” katanya yang turut mendedahkan kekasihnya bukan beragama Islam.

Zul juga enggan suri hidupnya itu menjadi mualaf hanya untuk sebuah perkahwinan semata-mata.

“Saya nak dia kenal agama Islam itu sedalam-dalamnya sebelum nekad memasuki agama Islam. Saya nak dia pikul tanggungjawab ini dengan serius iaitu mengenali siapa Tuhan yang sebenar dan ajaran Islam semampu boleh.

“Saya nak dia berusaha mencari kebenaran dan menjernihkan segala kekeliruan mengenai Islam. Saya nak dia peluk Islam dengan kerelaan hatinya dan bukan disebabkan perkahwinan. Disebabkan itu juga saya tidak mahu berkongsi siapa gerangan wanita berkenaan sehingga tiba waktunya kerana bimbang andai tempoh dia mengenal Islam, dia tiba-tiba tidak mahu berhijrah,” katanya.

Pada masa sama, Zul juga bimbang sekiranya ilmu agamanya tidak mencukupi.

“Saya takut jika berlaku sesuatu kepada saya seperti kematian dan dia kembali kepada agama asalnya. Itu menjadi satu dilema besar buat saya,” katanya.


ZUL bergandingan dengan Mira Filzah dan Remy dalam filem Sangkar.

SANGGUP TINGGALKAN KERJAYA LAKONAN

Zul juga sanggup melepaskan dunia lakonan yang menjadi kecintaannya selama ini semata-mata ingin memastikan kehidupan yang bakal dinikmati berjalan dengan baik dan agama Islam dipandang tinggi.

“Saya sanggup korbankan kerjaya seni semata-mata untuk memastikan isteri faham mengenai Islam. Saya tidak kisah kehilangan kerjaya kerana perkahwinan ini membabitkan agama dan memerlukan komitmen yang tinggi.

“Saya tidak percaya kepada cinta. Bagi saya lebih baik bercinta selepas berkahwin. Itu lebih manis,” katanya.

Zul berkata, dia percaya ada sebab Allah menghadirkan dia dengan seseorang bukan Islam dalam hidupnya. Sehubungan itu, dia akan mengambil ketentuan itu sebagai satu peringatan untuk menjadi orang Islam yang terbaik.

CABARAN SANGKAR

Membintangi sebuah filem yang menampilkan empat penerbit gergasi iaitu Primeworks Studios dan Astro Shaw bersama syarikat produksi Infinitus Gold dan mm2 Entertainment bermula 29 Ogos ini, Zul mengakui berdebar menanti maklum balas peminat terhadap filem kisah sukan lasak Mixed Martial Arts (MMA) itu.

Kata Zul, idea untuk menghasilkan filem itu adalah daripadanya dan dia berterima kasih kepada Infinitus Gold kerana memberi ruang untuknya berkongsi idea filem itu.

“Saya memang meminati sukan lasak ini. Tak sangka filem ini menerima respons yang baik daripada penerbit Infinitus Gold iaitu, Gayatri Su-Lin Pillai. Melihat hasilnya, saya begitu berpuas hati apabila ia diterjemahkan dengan begitu kemas dan membawa mesej positif serta semangat kekeluargaan.

“Walaupun berdepan kecederaan kecil ketika penggambaran kerana kebanyakan aksi filem ini saya mahu lakukan sendiri, ia tidak sedikit pun mematahkan semangat untuk membawakan watak ini sebaik mungkin bersama rakan gandingan Remy Ishak,” katanya.

Menurut Zul, digandingkan bersama Remy buat pertama kali, dia nyata gembira dengan kerjasama yang diberikan pelakon itu selain mudah mewujudkan keserasian.

“Filem ini adalah yang pertama saya digandingkan dengan Remy. Jujur kami tidak perlu mempunyai momen untuk suai kenal, sebaliknya sebaik kamera sudah dirakam, masing-masing sudah tahu dialog yang ingin dilontarkan dan ada yang dibuat secara spontan.

“Menerusi filem ini kami cuba memberikan sepenuh komitmen dan mewujudkan keserasian. Tambahan pula, filem ini menonjolkan kelainan yang mengetengahkan unsur persahabatan antara dua lelaki.

“Sejujurnya, kalau tiada Remy, tak tahu siapa yang boleh bawa watak yang digandingkan bersama saya itu,” katanya.

Filem Sangkar arahan Kabir Bhatia itu bakal menemui penonton di 143 pawagam di Malaysia, Singapura dan Brunei pada 29 Ogos ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Ogos 2019 @ 6:00 AM