ADAM (kanan) yang fasih dalam Bahasa Melayu Sarawak ketika berbual bersama wartawan Harian Metro. FOTO L MANIMARAN
Garret Dawum


PERTEMUAN kali pertama dengan remaja berbangsa Dagomba dari Ghana ini pasti akan mengejutkan kerana kemampuannya berbahasa Melayu dialek Sarawak sangat mengujakan.

Adam Abdul Raazik, 17, menjadi popular selepas videonya berbual dalam bahasa Melayu Sarawak yang dirakam personaliti YouTube, Mr Febri ketika menaiki perkhidmatan Grab lelaki terbabit, tular baru-baru ini.

Pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Samarahan itu berkata, setiap hari dia akan menghafal dua atau tiga perkataan Melayu Sarawak untuk membolehkannya berkomunikasi dengan penduduk setempat.

“Pada mula saya menjejakkan kaki ke Kuching Sarawak tahun lalu, perkataan pertama yang saya belajar adalah auk (ya) dan sik (tidak).

“Tidak sampai setahun, saya sudah boleh bercakap dengan kawan-kawan terutama di sekolah.

“Saya banyak belajar bahasa Melayu Sarawak daripada rakan yang sama-sama melakukan ‘street workout’ dan bermain bola sepak,” katanya ketika ditemui di Kota Samarahan, semalam.

Abdul berkata, dia juga fasih berbahasa Melayu dialek Semenanjung selepas dibawa bapanya datang ke negara ini lapan tahun lalu.

Katanya, dia kini mampu menguasai 90 peratus bahasa Melayu dialek Sarawak dan akan terus belajar bahasa itu.

“Saya suka tinggal di Kuching kerana penduduk di sini sangat mesra dan membuatkan saya tidak terasing.

“Selain bahasa, saya juga jatuh cinta dengan makanan wajib di sini seperti mee kolo dan laksa Sarawak,” kata anak sulung daripada empat beradik itu.

Sementara itu, Abdul turut memberitahu keinginannya untuk belajar bahasa Iban dan Bidayuh memandangkan ramai rakan di sekolah berbangsa Iban dan Bidayuh.

“Sarawak sangat kaya dengan bahasa, sama seperti negara saya yang mempunyai lebih 60 bahasa.

“Saya tertarik dengan bahasa Iban dan Bidayuh apabila mendengar bahasa itu ditutur oleh rakan di sekolah. Bunyinya sangat indah.

“Setakat ini, saya sudah belajar tiga perkataan Iban iaitu ngirup (minum), nuan (kamu) dan nadai (tiada),” katanya yang juga mampu bercakap dalam bahasa Ghana (Dagbanli), Inggeris dan Arab.

Dalam pada itu, bapanya, Dr Adam Andani Mohameed, 51, mengakui tekejut apabila anaknya mampu berbahasa Melayu dialek Sarawak walaupun baru datang ke negeri ini.

“Sebelum ini, kami sekeluarga tinggal di Gombak ketika saya menyambung pengajian Ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah di Universiti Islam Antarabangsa (UIA).

“Saya membawa tiga anak dan isteri pada 2011 ke Malaysia. Seorang lagi anak saya dilahirkan di Malaysia.

“Walaupun sudah lama tinggal di Malaysia tetapi bahasa Melayu saya tidak sebagus anak saya,” kata pensyarah Pembangunan Manusia dan Persekitaran Sosial Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Ogos 2019 @ 11:38 AM