AMIRUL Syaqir menjadi penghantar makanan (kanan) dan bersama sijil tamat pengajiannya (kiri). FOTO Ihsan Amirul Syaqir Anuar.
Alias Abd Rani


ANAK sulung selalunya menjadi sandaran untuk menjadi contoh kepada adik, mahupun membantu ibu bapa meringankan beban keluarga.

Terutama selepas menamatkan pengajian, perkara pertama perlu dilakukan adalah mendapatkan pekerjaan yang sesuai dan hasilnya untuk sara diri dan keluarga.

Akur norma itu, menyebabkan Amirul Syaqir Anuar, 24, tekad menjadi ‘rider’ dengan sebuah penyedia perkhidmatan pesanan dan penghantaran makanan, meskipun ia bukan pekerjaan idamannya.

Kata anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan itu, dia adalah graduan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dalam bidang kejuruteraan penyelenggaraan pesawat dan menamatkan pengajiannya di Institut Teknologi Penerbangan Malaysia UniKL pada Jun lalu.

Menurutnya, kesukaran memperoleh pekerjaan menyebabkan dia tidak memilih dan mencuba apa jua bidang yang sesuai, asalkan peroleh pendapatan halal untuk dirinya dan keluarga.


AMIRUL Syaqir bersama rakan pengajiannya. FOTO Ihsan Amirul Syaqir Anuar.

“Selepas taman latihan praktikal, saya pulang ke kampung dan seminggu kemudian, saya kembali ke Kuala Lumpur untuk bekerja.

“Gaji saya dapat bolehlah menolong lima adik termasuk dua yang sedang menuntut di Institut Malaysia-Jerman (GMI), Bangi dan Kolej Kemahiran Tinggi MARA, Masjid Tanah.

“Perbelanjaan harian saya jimat sedikit sejak bekerja hantar makanan, memandangkan saya makan sekali sehari saja.

“Sebelum memulakan kerja, saya akan makan dahulu kerana jika dalam tempoh kerja, saya tidak ada masa,” katanya ketika dihubungi.

Amirul Syaqir berkata, gaji yang diterima sekitar RM2,000 sebulan mampu meringankan beban ibu bapanya dalam menyara mereka.

“Apa jua pekerjaan boleh dilakukan, asalkan kita berani melakukannya. Seperti kerja saya lakukan ini, ramai tahu dugaan cukup besar terutama aspek keselamatan.

“Lagipun sekarang musim hujan, jadi inilah cabaran saya tempuh setiap hari untuk memastikan pelanggan mendapat tempahan tepat pada masanya,” katanya yang mengakui ada pelanggan yang memandang rendah kerja dilakukannya.

Katanya, walau diuji dengan cabaran dan kerenah pelanggan, dia tidak patah semangat sebaliknya akan terus bergelar penghantar makanan sehingga memperoleh pekerjaan tetap yang lebih stabil.

Menurutnya, sudah mengikuti lima ke enam temuduga namun, masih belum menerima sebarang panggilan kerja.

“Buat masa sekarang belum ada rezeki jadi, saya akan tumpukan dengan pekerjaan ini. Kita tidak boleh memilih sangat lagipun zaman sekarang kita berdepan banyak saingan,” katanya yang teta[ bersyukur dengan rezeki diterimanya.

Terdahulu, pada 25 Ogos lalu, Amirul Syaqir berkongsi ciapan di Twitter, “lima tahun aku ambil masa nak habiskan ijazah Aircraft Engineering ni. Alhamdulillah, sekarang bergelar ‘Food Distribution Engineer’.”

Malah, ciapan itu diulang ciap 6,000 kali dan turut mendapat reaksi graduan seluruh negara yang melakukan pelbagai pekerjaan di luar bidang pengajian demi menyara hidup.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Ogos 2019 @ 3:27 PM