REAKSI wanita berkenaan ketika mendengar nyanyian Muhammad Shameer Shauqeen. FOTO Ihsan Azizul Hafizi Abdul Aziz
Redzuan Muharam


“SAYA menyanyi di hadapan mak cik itu bagi memenuhi permintaannya. Tak sangka, nyanyian saya itu membuatkannya tersentuh,” kata Muhammad Shameer Shauqeen Shaiful Izam, 18.

Muhammad Shameer memberi reaksi mengenai rakaman videonya menyanyi lagu Malam Bulan Di Pagar Bintang nyanyian asal Allahyarham Tan Sri P Ramlee di hadapan seorang wanita.

Video berdurasi 22 saat itu dimuat naik di Twitter, kelmarin dan sehingga kini meraih 145,900 tontonan ; 19,100 tanda suka serta 11,300 ulang ciap.

Menceritakan kisah sebenar, Muhammad Shameer yang juga penuntut Diploma Insurans Kolej Vokasional Gombak (KVG) berkata, video itu dirakam salah seorang rakannya ketika lawatan mereka ke sebuah pusat jagaan orang kurang upaya (OKU) di Rawang, Selangor pada Selasa (27 Ogos) lalu.

Menurut Muhammad Shameer, lawatan itu bersempena program khidmat komuniti yang dijalankan bagi memenuhi keperluan salah satu subjek.

“Saya ke pusat jagaan OKU bersama rakan sekuliah yang ditugaskan menjalankan kerja amali iaitu aktiviti pembersihan dan itu kali pertama saya terbabit dengan kegiatan khidmat masyarakat.

“Ketika masuk ke dalam pusat berkenaan, salah seorang penghuni bertanya siapa antara kami yang tahu menyanyikan lagu Allahyarham Tan Sri P Ramlee.

“Kebetulan, saya memang menggemari lagu lama jadi saya tawarkan diri untuk menyanyi dua lagu iaitu Malam Bulan di Pagar Bintang dan Anakku Sazali.

“Mulanya, dia nampak sedih tetapi akhirnya tersenyum selepas saya menyanyi. Reaksinya itu membuatkan saya terharu dan gembira kerana dapat menghiburkannya,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Dalam pada itu, Muhammad Shameer mengakui terkejut selepas rakaman video dimuat naiknya itu tular di media sosial kerana sekadar berkongsi untuk tontonan pengikutnya.

“Alhamdulillah, banyak maklum balas positif diterima sejak tularnya video berkenaan dan rata-rata warganet meluahkan rasa sebak serta mendoakan saya selepas menontonnya.

“Secara peribadi, saya gembira kerana dapat bertemu dengan golongan kurang bernasib baik dan bercadang untuk mengajak rakan melakukan aktiviti khidmat masyarakat jika ada kelapangan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Ogos 2019 @ 9:00 PM