KEADAAN badan mangsa selepas disengat lebih 200 tebuan dalam kejadian di Kampung Kuala Betis, Gua Musang Selasa lalu, sebelum meninggal dunia tengah hari semalam. FOTO Ramli Ibrahim.
Ramli Ibrahim


LELAKI warga emas meninggal dunia di Hospital Kuala Krai (HKK), semalam selepas bertarung nyawa selama empat hari akibat disengat lebih 200 tebuan.

Mohd Ghazali Awang, 67, disengat tebuan ketika membersih kebunnya menggunakan jengkaut di Kampung Kuala Betis, Gua Musang pada 9 pagi, Selasa lalu.

Anaknya, Mohd Firdaus Mohd Ghazali, 31, berkata bapanya berada dalam keadaan kritikal ketika menerima rawatan awal di Hospital Gua Musang (HGM) selama tiga hari.

Bagaimanapun, katanya, bapanya kemudian dirujuk ke HKK, Khamis lalu sebelum meninggal dunia pada 12.45 tengah hari semalam.

“Sebelum kejadian, arwah bapa ke kebun bersama dua adik dan abang saya menggunakan kenderaan berasingan untuk membersih kebun yang ditanam pelbagai tanaman.

“Hanya arwah memandu jengkaut turun ke bawah bukit untuk membersihkan semak, namun dengan tiba-tiba sarang tebuan sebesar tayar kereta terjatuh.

“Berikutan itu, arwah disengat lebih 200 tebuan sebelum terjun dari jengkaut dan merangkak naik bukit untuk ke kenderaan pacuan empat roda,” katanya ketika ditemui di rumahnya di perumahan Jabatan Perumahan Negara (JPN) kawasan industri, Gua Musang, hari ini.

Terdahulu, Mohd Firdaus menerima kunjungan Yang Dipertua Majlis Belia Jajahan (MBJ) Mohd Asmawi Fiktry Abd Ghani untuk menziarah keluarga arwah.

Mengulas lanjut, beliau berkata, dalam keadaan ketika menahan sakit selepas disengat tebuan itu, arwah sempat menghubungi abangnya, Mohd Ikhwan, 33, yang berada tidak jauh dari situ supaya datang membantu membawanya ke HGM.

Katanya, ketika menerima rawatan di hospital, bahagian kepala mempunyai kesan 24 sengatan tebuan manakala di bahagian tubuh pula terdapat lebih 200 sengat.

“Bagaimanapun, saya reda dengan kematian bapa atas sebab disengat tebuan terlalu banyak.

“Jenazah arwah disembahyangkan di Masjid Tengku Muhammad Faiz Petra Bandar Baru Gua Musang sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam KESEDAR Petra pada 8 malam tadi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Ogos 2019 @ 3:52 PM