JAMILAH menunjukkan gambar anggota Balai Polis Bukit Kepong termasuk bapanya, Abu Bakar yang diserang pengganas komunis pada 23 Februari 1950.
Ahmad Ismail.


“BIARPUN kesan parut tembakan semakin menghilang, tapi luka di hati dibawa ke mati,” kata mangsa kekejaman komunis, Jamilah Abu Bakar, 74.

Jamilah adalah anak kepada Konstabel Polis (PC) Allahyarham Abu Bakar Daud dan isteri, Fatimah Jaabar, antara keluarga anggota polis yang diserang pengganas komunis dalam tragedi di Balai Polis Bukit Kepong, Muar.

Dalam kejadian berdarah jam 2.30 pagi pada 23 Februari 1950 itu, segerombolan pengganas komunis menyerang dan membakar Balai Polis Bukit Kepong menyebabkan 25 anggota polis termasuk keluarga mereka serta orang awam terbunuh.

Jamilah berkata, sempena hari kemerdekaan yang baru disambut, dia mengajak orang ramai untuk benar-benar menghayati erti kemerdekaan, apatah lagi banyak darah tertumpah ketika itu semata-mata untuk memperoleh nikmat merdeka.

“Saya minta semua, hayatilah kemerdekaan sebenar. Bayangkan pada usia empat tahun, saya yang masih memerlukan kasih sayang dan dakapan seorang ibu, tiba-tiba hilang nikmat itu apabila ibu mati dibunuh kejam di depan mata,” katanya di kediamannya di Bandar Baru Uda di sini, semalam.

Menurutnya, dia yang juga anak bongsu serta abang kembarnya, Hassan dan Hussein kehilangan insan tersayang akibat tragedi berdarah itu.

“Ketika kejadian, abang saya, Hussein tidak berada di lokasi kejadian serangan kerana menetap di kediaman saudara di Pulau Pinang.

“Ketika kejadian jam 2.30 pagi itu, saya disusui arwah ibu sementara Hassan pula tidur nyenyak dalam kuarters berek polis,” katanya.

Katanya, dalam keadaan peluru yang bersimpang siur, bapanya sempat membalas tembakan bertalu-talu pengganas komunis hingga mengakibatkan bapa terkena tembakan beberapa das di badan dan lengan kiri hingga berlumuran darah.

“Melihat keadaan bapa berlumuran darah dan tidak bermaya, ibu mencapai senjata api digunakan bapa dan membalas tembakan komunis sebelum ibu juga mati terkena beberapa das tembakan di badan,” katanya.

Jamilah berkata, abangnya Hassan turut terkorban terkena peluru sesat dalam kejadian itu.


ALLAHYARHAM Abu Bakar Daud.

“Saya sendiri cedera di pergelangan tangan kiri akibat terkena peluru.

“Dengan izin Allah, saya berjaya merangkak keluar di sekitar kawasan kuarters balai polis tanpa disedari pengganas komunis sebelum bangunan itu rentung dibakar,” katanya.

Menurutnya, dalam keadaan luka parah dan tidak bermaya, bapanya merangkak ke arah jeti polis di Sungai Muar yang jaraknya 30 meter dari balai polis dan terjun ke dalam air dalam usaha menyelamatkan diri.

“Menyedari tindakan bapa itu, komunis membaling bom tangan ke dalam sebuah bot marin polis serta membakarnya di jeti itu kerana menyangka ia akan digunakan untuk meminta bantuan.

“Komunis melepaskan beberapa das tembakan ke dalam sungai dalam usaha membunuh bapa, namun Allah masih panjangkan usianya,” katanya.

Katanya, lebih menyedihkan apabila hanya sisa abu mayat arwah ibu dan abang yang dikebumikan di Tanah Wakaf Perkuburan Islam di Bukit Kepong.

“Selepas kejadian itu, bapa menceritakan bagaimana dia menggunakan sejenis tumbuhan seperti penyedut air (straw) untuk bernafas di permukaan air,” katanya.

Jamilah berkata, bapanya terselamat daripada serangan buaya yang menghuni sungai itu yang ketika itu begitu ditakuti penduduk.

Katanya, selepas hari cerah, barulah bantuan pasukan keselamatan dan perubatan menyusul tiba.

“Saya memuji tindakan berani beberapa penduduk kampung yang cuba membantu ketika kejadian, namun ada antara mereka terbunuh selain tidak mampu mara kerana kekurangan senjata yang lengkap berbanding komunis.

“Saya dan ayah menerima rawatan di Hospital Daerah Muar selama beberapa bulan, namun akibat komplikasi tembakan itu menyebabkan ayah tidak sihat dan meninggal dunia pada 8 November 1976,” katanya sambil memberitahu jenazah bapanya dikebumikan di Bukit Aliff, Skudai.

Menurutnya, hanya linangan air mata membasahi pipi setiap kali mendengar jasa pahlawan dan keluarga mereka diperlekehkan.

“Arwah turut diberikan pelbagai anugerah kepolisian, antaranya ‘Sijil Berdarah’ kesan peristiwa Bukit Kepong itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 September 2019 @ 6:40 AM