DR Ab Rahim tiba di KLIA menaiki pesawat Singapore Airlines. FOTO Azhar Mat Ganti


PROF Dr Ab Rahim Ismail, 62, yang koma selepas serangan jantung pada 15 Julai lalu di Turki selamat tiba di tanah air, kelmarin.

Menantunya, Muhamad Fikri Aziz, 33, berkata, Ab Rahim tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jam 9.30 pagi.

“Baba (bapa) bertolak dari Lapangan Terbang Istanbul jam 6.30 petang (waktu Malaysia), Sabtu lalu menaiki pesawat Singapore Airlines.

“Disebabkan itu adalah penerbangan transit, baba tiba di Lapangan Terbang Changi, Singapura terlebih dulu jam 5 pagi sebelum dibawa ke Malaysia.

“Setibanya di sini, baba dibawa ke Hospital Serdang dan dimasukkan ke unit rawatan koronari (CCU) di hospital berkenaan. Alhamdulillah, perjalanan pulang baba berjalan lancar,” katanya ketika dihubungi.

Penerbangan pulang Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Jabatan Penyelidikan dan Pembangunan, Universiti Antarabangsa Al-Madinah (MEDIU), Kuala Lumpur ditemani anak keempatnya, Shahid.

Beliau yang juga bekas pensyarah Universiti kebangsaan Malaysia (UKM) turut diiringi doktor sukarelawan yang pernah membawa Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin dari London ke Malaysia iaitu Perunding Anaesthesiologist dan Pakar Perubatan Penjagaan Kritikal Pusat Perubatan Subang Jaya, Dr Gunalan Arumugam serta kakitangan ambulans udara.

KEPALA DR Ab Rahim terhentak di lantai menyebabkan kecederaan di otak. FOTO Azhar Mat Ganti

Muhammad Fikri berkata, dia dan ahli keluarga yang lain bersyukur apabila Ab Rahim kini dibawa pulang ke Malaysia walaupun dilaporkan tidak sedarkan diri.

“Lebih mudah untuk kami pantau dan jaga kesihatan baba di sini selain tidak perlu menanggung kos rawatan perubatan yang tinggi di sana.

“Kami berterima kasih kepada rakyat Malaysia, ahli keluarga, saudara-mara dan rakan yang banyak membantu dari segi dana dalam usaha membawa baba pulang.

“Selain itu, kami turut berterima kasih kepada Kedutaan Malaysia di Turki dan Izzah Atirah Abdullah iaitu pelajar Malaysia yang menjadi pengantara kami dengan pihak hospital di sana berikutan fasih berbahasa Turki,” katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan Ab Rahim dirawat di Turki dan memerlukan dana kewangan bagi menampung kos rawatan serta membawanya pulang ke Malaysia.

Kepalanya terhentak di lantai menyebabkan berlaku kecederaan di otak selepas mendapat serangan jantung dan dilaporkan tidak sedarkan diri hingga kini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 September 2019 @ 6:00 AM