STATUS dimuat naik Tunku Azizah mengenai Amanda yang menggayakan baju beragam ala Raja Permaisuri Agong.


“AMANDA minta saya buat ala baju Raja Permaisuri Agong (Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah) selepas menyaksikan perbarisan dan perarakan Hari Kebangsaan 2019 di televisyen.

“Jadi bila dia tengok baginda ketika perbarisan itu, terus dia nak pakai macam itu bagi pertandingan pakaian beragam sempena kemerdekaan di tadikanya,” kata Nurul Farhana Maarup, 32.

Terdahulu, Tunku Azizah memuat naik gambar anak Nurul Farhana iaitu Adindaqu Raqhia Amanda Hazran, 6, di laman rasmi Twitter baginda yang memakai baju ala Raja Permaisuri.

Agong.

Status itu mendapat lebih 1,100 ulang ciap dan 10,300 tanda suka serta pelbagai reaksi warganet.

Nurul Farhana berkata, anaknya Adindaqu Raqhia Amanda atau lebih dikenali sebagai Amanda sangat teruja apabila diberitahu gambarnya dimuat naik Tunku Azizah.

“Amanda kata walaupun dia tak menang pakaian terbaik di tadikanya, namun, dia sangat terharu dan bersyukur apabila Tuanku Azizah muat naik gambarnya.

“Pagi tadi dia cakap dengan saya tak sabar untuk memaklumkan perkara itu kepada cikgu tadikanya sambil tanya berapa jumlah tanda suka di status Raja Permaisuri Agong itu,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Katanya, ibu saudara kepada Amanda yang memuat naik gambar anak sulungnya itu di Twitter.

“Namun, tidak sangka Raja Permaisuri Agong muat naik kembali gambar itu di laman Twitter rasmi baginda. Kami semua begitu teruja,” katanya yang menetap di Kuantan, Pahang.

Dalam pada itu, Nurul Farhana berkata, dia hanya mengambil masa dua hari untuk menyiapkan baju dipakai Amanda dengan menggunakan lima helai tudung.

“Saya jahit pakai tangan saja. Cuma baju ‘inner’ saja saya beli di kedai bersama aksesori ‘mahkota’ yang diperlukan untuk menjadi ala-ala ‘princess’.

“Amanda dah bagi tahu dia tidak mahu baju menggunakan bendera. Hanya sekadar warna bendera sebab dia kata tak elok kita koyak bendera.

“Cuma saya tampal bendera Malaysia saja dekat bajunya supaya nampak lebih patriotik,” katanya yang memperuntukkan RM70 bagi menyiapkan baju Amanda.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 September 2019 @ 9:09 PM