SKUAD Harimau Malaya jaani latihan di Stadium Gelora Bung Karno.
Firdaus Hashim


JAKARTA: Skuad Harimau Malaya bakal menempuh ujian berliku di Gelora Bung Karno malam ini terutama dalam misi meraih kemenangan apabila turun menentang Indonesia dalam aksi pertama pusingan kedua Kumpulan G kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023.

Berdasarkan rekod pertemuan kedua-dua pasukan di gelanggang keramat skuad Garuda itu, Malaysia hanya mampu melakar dua kemenangan dalam 20 pertemuan sejak 1991 dengan masing-masing diraih pada 13 September 1996 dan 28 Disember 2004.

Jelas jika rekod berkenaan diambil kira, kehadiran skuad kendalian Tan Cheng Hoe di bumi Indonesia dilihat sangat sukar terutama dalam usaha menamatkan kemarau 14 tahun kemenangan di depan ribuan penyokong fanatik tuan rumah itu.

Bagaimanapun, Cheng Hoe yang hadir dengan status naib juara Piala AFF musim lalu tetap tenang menghadapi ujian itu apabila menegaskan anak buahnya sudah bersedia mengintai keputusan positif pada aksi sulung itu.

Katanya, beliau mahu pemainnya membuka buku baharu dengan memberi fokus sepenuhnya dan tidak terlalu memikirkan sebarang bentuk provokasi daripada penyokong tuan rumah.

“Kalau kita tengok rekod perlawanan Indonesia (yang berlangsung di Indonesia) selalu berpihak mereka,” katanya pada sidang media kedua-dua pasukan di sini, semalam.

Beliau berkata, skuad negara tidak boleh terlalu memandang rekod dan sejarah yang jelas memihak Indonesia, sebaliknya turun dengan misi memburu keputusan positif.

“Bukan mudah kita datang ke GBK (Gelora Bung Karno), tetapi ini adalah aksi berbeza dan pemain yang berbeza.

“Saya yakin pemain saya akan berikan terbaik dan mungkin kita boleh mulakan rentak positif dalam kempen kelayakan Piala Dunia kali ini,” katanya yang mengidamkan tiga mata penuh sebelum turun menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada aksi kedua di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa depan.

Sementara itu, menjawab soalan dari media Indonesia mengenai kehadiran lima tonggak naturalisasi dalam skuad tuan rumah, Cheng Hoe yakin barisan pertahanannya terdiri daripada Matthew Davies, Shahrul Saad, Adam Nor Azlin dan La’Vere Corbin-Ong sudah bersedia untuk merantai pergerakan pemain berkenaan.

“Kita tahu pasukan Indonesia ada ramai pemain berkualiti di bahagian depan dan saya percaya beberapa pemain mereka yang main di Malaysia akan beri maklumat tambahan kepada pasukan tuan rumah.

“Tetapi pemain saya sudah bersedia untuk menghalang mereka menjaringkan gol. Bagi saya, perlawanan esok (malam ini) adalah berbeza dan masing-masing ada peluang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 September 2019 @ 5:30 AM