KHEMAH dan meja tetamu yang tidak berhias. FOTO ihsan Nur Azizi Sulaiman


HARI bahagia bergelar raja sehari sepatutnya menjadi hari paling diingati, namun lain pula terjadi kepada pasangan pengantin baru ini apabila saat yang ditunggu-tunggu berakhir dengan kenangan pahit.

Semuanya gara-gara pihak katering yang gagal menyediakan makanan pada hari kenduri sebelah keluarga pengantin lelaki selain khemah yang dipasang sebagai tempat makan tetamu tidak sempurna.

Pengantin lelaki, Nur Azizi Sulaiman, 28, berkata, dia membayar RM8,000 kepada seorang wanita yang juga pemilik katering secara berperingkat bagi menyediakan makanan, khemah, mak andam, juruacara dan jurukamera.

Nur Azizi berkata, ketika hari kejadian, hanya jurukamera, jurumekap dan juruacara yang datang dan melakukan tugasan, namun mereka belum mendapat sebarang bayaran daripada wanita berkenaan.

Menceritakan kejadian itu, Azizi berkata, dia mengenali wanita itu menerusi Facebook dan selepas membuat pertimbangan, dia menghubungi pihak katering yang menawarkan pakej berharga RM8,000.

“Pakej berkenaan termasuk makanan, khemah, jurugambar, juruacara, pelamin, baju pengantin dan mekap. Pada 23 Jun saya berjumpa dengan wanita itu di Seremban dan selepas berbincang dan bersetuju saya membuat pembayaran pendahuluan sebanyak RM2,000 secara tunai.

“Pada 26 Jun, saya membuat transaksi atas talian kepada wanita itu sebanyak RM1,500 dan pada 15 Julai sekali lagi saya memindahkan wang sebanyak RM4,500 menjadikan jumlah semua RM8,000,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Azizi berkata, tiga hari sebelum majlis di rumahnya di Kampung Keru, Tampin pada 1 September lalu, beberapa pekerja ke rumahnya dan memasang empat khemah sedangkan mengikut persetujuan, lima khemah akan dipasang.

“Saya menghubungi wanita berkenaan, namun mendakwa satu lagi khemah akan dipasang keesokan harinya. Esoknya saya menunggu sehingga tengah malam, namun khemah dijanjikan tidak tiba, malah tiada sebarang hiasan pada khemah berkenaan.

“Hanya khemah semata-mata, tiada kain hiasan seperti yang dijanjikan dan meja makan pengantin juga tidak dihias. Wanita itu memberi pelbagai alasan,” katanya.

Menurutnya, pada pagi hari kenduri, wanita berkenaan menghubunginya supaya menyediakan makanan sendiri kerana khuatir akan terlambat selain memberi pelbagai alasan lain berhubung hal khemah dan hiasan.

“Saya ketika itu buntu sebelum menghubungi pihak katering yang menyediakan makanan ketika kenduri di rumah pengantin perempuan dan katering berkenaan setuju membantu saya menyediakan nasi ayam bagi 300 tetamu saja.

“Ketika itu saya berada di hotel dan mendapat tahu keluarga dan saudara-mara bertungkus-lumus membeli lauk mentah dan menyediakan makanan kepada tetamu kerana wanita itu tidak tiba dengan makanan yang dijanjikan.

“Sehingga ke lewat petang, wanita itu tidak muncul namun berjanji ke rumah kami. Dalam masa sama pelbagai alasan diberikan dan kira-kira jam 12 tengah malam, saya membuat laporan polis di Balai Polis Tampin,” katanya.

Azizi berkata, majlis kenduri di rumahnya sepatutnya menjadi hari gembira buatnya dan pasangan, namun dia panik sehingga menitiskan air mata, bagaimanapun bersyukur semuanya berjalan lancar dengan bantuan kaum keluarga.

“Saya kesal dengan apa yang berlaku. Daripada maklumat yang saya terima, sudah ramai individu yang terkena dengan katering ini, namun enggan membuat laporan polis dan membawanya ke tengah.

“Saya berharap pihak berkuasa dapat membawa keadilan kepada kes saya ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Ramli Kasa berkata, pihaknya mengesahkan menerima laporan kes berkenaan, namun dipindahkan ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Seremban.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 September 2019 @ 3:51 PM