PENJAGA parkir haram di Jalan Imbi berdekatan Kompleks Beli Belah Berjaya Times Square, Kuala Lumpur memberi ketidakselesaan buat penunggang motosikal.
Khairul Najib Asarulah Khan


“RM1 abang.” Itu bayaran diminta penjaga parkir haram apabila meletak motosikal di Jalan Imbi berdekatan Kompleks Beli-Belah Berjaya Times Square, di sini.

Tinjauan Harian Metro mendapati lelaki berusia 40-an itu akan mendekati semua penunggang motosikal dan meminta bayaran berkenaan.

Sebaik bayaran dilakukan, lelaki itu terus memasukkan wang dalam poket seluar tanpa memberi sebarang resit sebelum beredar dan mencari mangsa lain.

Hasil pemerhatian mendapati, setiap satu minit lebih 10 penunggang motosikal menjadi mangsa lelaki itu.

Pekerja swasta, Hidayah Samsudin, 24, berkata, lelaki itu sudah lama menjalankan kegiatan terbabit namun masanya tidak menentu.

“Saya sudah beberapa kali terserempak dengan dia dan terpaksa membayar RM1. Jika dia tiada, kita terselamat... kalau tidak kenalah sediakan duit.

“Jika tidak bagi... saya risau motosikal akan di apa-apakan dan jumlah itu tidaklah terlalu besar,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Penunggang motosikal, Mohd Faizol Ramli, 32, berkata, dia kecewa dengan tindakan lelaki itu kerana seperti memaksa untuk membayar parkir berkenaan.

“Sememangnya ketika sampai saja di kawasan itu, lelaki berkenaan akan menunjukkan ruang yang kosong untuk parkir motosikal.

“Jika tidak bagi duit... dia akan tunggu saja dekat motosikal menyebabkan rasa tidak selesa.

“Kawasan ini sebenarnya parkir awam di mana lelaki itu mencari jalan mudah untuk mencari keuntungan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd Fahmi Visuvanathan Abdullah ketika dihubungi berkata, mereka yang mengutip bayaran parkir tanpa kebenaran boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 50(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman denda sehingga RM2,000 atau penjara maksimum enam bulan jika sabit kesalahan.

“Mereka yang mengetahui kegiatan kutipan parkir secara haram boleh menyalurkan maklumat di balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 September 2019 @ 6:30 AM