ANGGOTA polis mengiringi enam suspek kes sindiket MyKad palsu yang dipercayai didalangi pegawai kanan JPN Pulau Pinang di Mahkamah Sesyen Georgetown. FOTO/RAMDZAN MASIAM
Skuad Khas Harian Metro


PEMBABITAN orang dalam di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) membolehkan MyKad tulen yang dijual kepada warga asing dikeluarkan dalam tempoh kurang 48 jam.

Sumber memberitahu Harian Metro bahawa pembabitan pegawai kanan di JPN Pulau Pinang itu memudahkan sindiket memproses MyKad berkenaan yang dijual RM50,000 hingga RM100,000 setiap satu.

“Harga lebih mahal antara RM300,000 dan RM600,000 turut dikenakan sindiket kepada warga asing yang mahukan MyKad tulen tanpa menggunakan butiran peribadi milik warga tempatan.

“Berdasarkan siasatan awal, ada beberapa jenis MyKad yang dijual sindiket kepada warga asing. Pertama, MyKad menggunakan butiran warga Malaysia yang sudah meninggal ataupun tinggal di kawasan luar bandar. Ini dijual sehingga RM100,000 setiap satu.

“Kedua, MyKad tulen yang tidak menggunakan butiran peribadi warga tempatan. Sebaliknya, hanya menggunakan butiran peribadi, alamat dan lain-lain butiran yang direka atau dicipta. Identiti palsu atau baharu diwujudkan kononnya dia (warga asing) adalah rakyat tempatan bersama sijil kelahiran. Harganya antara RM300,000 hingga RM600,000,” katanya.

Katanya, setiap urusan dilakukan secara tunai manakala warga asing yang mahu mendapatkan MyKad itu hanya berurusan dengan ejen.

“Ejen inilah akan kumpulkan semua data, butiran peribadi dan diserahkan kepada pegawai kanan di JPN untuk proses seterusnya,” katanya.

Menjelas lanjut, sumber itu berkata, kebanyakan pemohon MyKad dan sijil kelahiran sah itu adalah warga asing yang berkahwin dengan warga tempatan.

Harian Metro semalam melaporkan seorang warga China yang gagal berkomunikasi dengan baik dalam bahasa kebangsaan ketika temu duga dijalankan pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) membongkar kegiatan penjualan MyKad dan sijil kelahiran.

Wanita terbabit dilapor ke pejabat JIM Pulau Pinang untuk membuat pasport selepas ‘membeli’ MyKad Malaysia dari sindiket berkenaan.

Susulan pendedahan oleh Harian Metro itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, seramai 20 individu termasuk pegawai JPN ditahan dan masih memburu saki-baki sindiket itu.

Huzir juga berkata, terdapat lapan lagi Mykad palsu yang kini dimiliki warga asing masih dikesan pihaknya.

Penolong pengarah berdepan 11 pertuduhan

Lelaki bergelar Datuk, pegawai kerajaan, anak dan bapa mentua antara enam individu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Georgetown, semalam atas 32 pertuduhan membabitkan aktiviti penjualan MyKad
dan dokumen pengenalan sah kepada warga asing.

Semua mereka yang berusia antara 34 hingga 66 tahun berkenaan didakwa berasingan mengikut Seksyen 4(5) Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA) 2012, Seksyen 26E Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 serta Seksyen 466 Kanun Keseksaan.

Dalam prosiding berasingan di hadapan Hakim Salha Hamzah dan Mazdi Abdul Hamid, tiada pengakuan direkodkan dan tiada jaminan dibenarkan terhadap semua tertuduh.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh pertama yang juga Penolong Pengarah Bahagian Kad Pengenalan JPN negeri, Mohd Faizul Arifin, 34, berdepan 11 pertuduhan masing-masing dua pertuduhan mengikut Seksyen 26E ATIPSOM, empat pertuduhan mengikut Seksyen 466 Kanun Keseksaan dan lima di bawah Peraturan 25 (1) (i) Peraturan Pendaftaran Negara 1990.

Mohd Faizul didakwa melakukan kesalahan itu antara September 2018 hingga Februari tahun ini di Ibu Pejabat JPN Pulau Pinang, Bangunan Persekutuan, Jalan Anson.

Bapa kepada dua anak itu mengaku tidak bersalah bagi semua pertuduhan, manakala tiada pengakuan direkodkan bagi pertuduhan mengikut ATIPSOM.

Sementara itu, empat tertuduh, Datuk Lai Chin Wah, 56, Loh Chan Cheong, 34, dan Yap Cheng Wah, 43, masing-masing berdepan dua pertuduhan, manakala Chien Guan Chai, 36, dengan empat pertuduhan mengikut Seksyen 466 Kanun Keseksaan kerana bersubahat dengan Mohd Faizul memalsukan sijil kelahiran dan bagi tujuan pengeluaran MyKad sah.

Selain itu, semua lima tertuduh berkenaan juga berdepan dua pertuduhan menjual sijil kelahiran dan MyKad mengikut Seksyen 26E ATIPSOM.

Tertuduh keenam, Mohd Faizal Tan Abdullah, 66, didakwa dengan dua pertuduhan mengikut Seksyen 26E ATIPSOM kerana menjual sijil kelahiran dan MyKad.

Berdasarkan pertuduhan, semua mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Georgetown, manakala kesalahan bersubahat dalam pemalsuan didakwa dilakukan di Ibu Pejabat JPN Pulau Pinang di sini antara Januari hingga Februari 2019.

Tertuduh keenam, Mohd Faizal adalah bapa mentua kepada Loh yang juga tertuduh ketiga kes ini.

Semua tertuduh mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan selain tiada pengakuan direkodkan untuk pertuduhan mengikut ATIPSOM.

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang tujuh tahun dan tidak lebih 15 tahun serta denda tidak kurang RM50,000 dan tidak lebih RM500,000.

Bagi kesalahan mengikut Seksyen 466 Kanun Keseksaan, tertuduh boleh dihukum penjara hingga tujuh tahun dan denda jika disabitkan kesalahan manakala Peraturan 25(1)(i) Peraturan-peraturan Pendaftran Negara 1990 memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-dua sekali.

Hakim menetapkan sebutan semula kes pada 18 September ini.

Pasukan pendakwaan diketuai Pengarah Pendakwaan negeri, Yusaini Amer Abdul Karim dan dibantu Timbalan Pendakwa Raya Mohd Amril Johari, Noor Azura Zulkiflee, Farah Aimy Zainul Anwar, Yazid Mustaqim Roslan dan Shafiq Sazali, manakala semua tertuduh diwakili peguam masing-masing.

Terdahulu, semua tertuduh tiba di mahkamah jam 9 pagi semalam diiringi beberapa pegawai polis lengkap bersenjata.

Muka depan Harian Metro semalam mendedahkan kejayaan polis dan beberapa jabatan kerajaan lain membongkar sindiket penjualan dokumen pengenalan diri MyKad kepada warga China di negeri ini yang didalangi seorang pegawai JPN negeri.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 September 2019 @ 10:00 AM