Suraya Roslan


DEMI memenuhi permintaan isteri yang mengidam untuk menjadi penghantar makanan, suami terpaksa merelakan isteri tercinta menunggang motosikal walaupun sedang mengandung.

Video permintaan ‘pelik’ isteri yang mengandung enam bulan itu tular di Twitter dan tindakan wanita itu kelakar namun mengundang bahaya.

Zulfahani Zulkifli, 25, berkata, pada mulanya permintaannya itu tidak dilayan suami, Muhammad Haikal Mazlan, 27, namun berikutan dia mengidam menjadi penghantar makanan, suaminya akur.

“Dah lama saya mengidam sejak awal mengandung tetapi suami tidak izinkan.

“Saya teringin sebab rasa seronok melihat penghantar makanan bawa pasangan hantar pesanan.

“Namun suami beri pelbagai alasan konon panas dan beg berat,” katanya ketika dihubungi hari ini.


Zulfahani bersama suami. FOTO Ihsan Zulfahani Zulkifli

Menurutnya, dia yang mengandung anak sulung itu memang menunggang motosikal ke tempat kerja.

“Bagaimanapun sejak mengandung suami hantar dan ambil saya dari kerja di Damansara Damai.

“Tetapi Jumaat lalu suami tidak sempat hantar dan saya menunggang motosikal sendiri ke tempat kerja, balik kerja suami datang untuk menemani sekali.

“Berikutan kami sudah membawa dua motosikal, saya minta suami ‘on’ aplikasi hantar makanan itu walaupun pada mulanya dia tidak mahu sehingga saya memujuknya,” katanya.

Zulfahani berkata, akhirnya suaminya akur dan terdapat satu pesanan masuk ke lokasi berhampiran iaitu jarak hanya 10 minit dari tempat kerjanya.

“Saya kemudian menunggang motosikal suami dan dia mengekori belakang. Setibanya di kediaman pelanggan, suami menghantar pesanan itu.

“Selepas itu, saya meminta dia ‘on’ lagi untuk pesanan kedua, namun dia tidak bagi dan terus ‘off’ kemudian mengajak pulang. Suami tegaskan, ia kali pertama dan terakhir,” katanya.

Katanya, dia berterima kasih kepada suami yang melayani permintaan peliknya ketika mengandung.

“Ramai cakap bahaya, namun suami memang ikut rapat di belakang saya sepanjang 10 minit perjalanan ke rumah pelanggan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 September 2019 @ 9:34 PM
Zulfahani menunggang motosikal suaminya menjadi penghantar makanan walaupun sedang mengandung. FOTO Ihsan Zulfahani Zulkifli