STATUS Siti Najihah yang tular di media sosial. FOTO Ihsan Siti Najihah Zamani
Redzuan Muharam


“SEJAK di bangku sekolah, saya sudah memasang angan-angan untuk memberi cenderahati mi segera kepada tetamu pada majlis perkahwinan, akhirnya impian itu bakal direalisasikan tidak lama lagi,” kata Siti Najihah Zamani, 22.

Siti Najihah memberi reaksi itu selepas ditanya alasannya menyediakan cenderahati mi segera untuk tetamu pada majlis perkahwinannya di Rembau, Negeri Sembilan 28 September ini.

Anak bongsu daripada tiga beradik itu berkongsi ideanya dengan memuat naik ciapan di Twitter miliknya malam kelmarin dan ia mendapat perhatian warganet sehingga tular di laman sosial.

“Saya pernah menyuarakan hasrat itu (memberi cenderahati mi segera) kepada ibu satu ketika dulu dan mulanya, dia mempersoalkannya mungkin kerana tidak pernah melihat pasangan lain melakukannya.

“Namun ada sebab saya memilih mi segera, salah satunya adalah kerana tidak mahu membazir dan ingin cenderahati diberi pada majlis perkahwinan nanti memberi manfaat kepada tetamu.

“Mujurlah, ibu dan ayah faham malah mereka begitu bersemangat memborong mi segera itu di pasar raya selepas tahu mengenai perancangan saya.

“Tunang saya , Amal Afif Omar, 22 juga tidak membantah sebaliknya menyokong walaupun terkejut pada mulanya,” katanya ketika dihubungi.

Siti Najihah bersama tunangnya yang akan disatukan sebagai suami isteri 28 September ini. FOTO Ihsan Siti Najihah Zamani

Siti Najihah berkata, rata-rata warganet memberi maklum balas positif terhadap perkongsiannya itu dan ada juga bercadang memberi cenderahati sama kepada tetamu pada hari bahagia mereka.

Namun terdapat juga individu yang mempersoalkan tujuannya memberi cenderahati mi segera kerana merasakan makanan itu tidak sihat dimakan.

“Mungkin ada yang tidak bersetuju tetapi terpulang kepada mereka kerana bagi saya, setiap pasangan pengantin berhak memilih jenis cenderahati untuk diberikan kepada tetamu.

“Apa yang penting, niat kita memberikan cenderahati itu adalah untuk bersedekah dan diharap tetamu saya nanti gembira menerimanya.

“Saya sendiri tidak menyangka perkara ini akan tular tetapi gembira jika ia dapat memberi idea kepada pasangan yang merancang berkahwin dengan bajet rendah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 September 2019 @ 8:25 PM