GAMBAR Tunku Azizah memeluk kucing dimuat naik puteri baginda.
Alias Abd Rani


“TUANKU cakap Assalamualaikum.” Itu utusan terbaru Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi penyampai pesanan bondanya, Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Tengku Puteri Afzan menulis status berkenaan menerusi akaun Twitternya sambil memuat naik gambar bondanya sedang memeluk kucing kesayangan.

Ucapan itu dibalas ribuan netizen yang merindui Tunku Azizah selepas baginda menutup akaun Twitternya @cheminahsayang, baru-baru ini.

Dalam komen balas netizen, mereka ternyata merindui Tuanku Permaisuri yang terkenal dengan kemesraan dengan warga maya menerusi perkongsian kehidupan harian yang dimuat naik di laman terbabit.

Antara komen balas menerusi status terbabit ialah: “@ctazurah2 yang meminta puteri baginda menyampaikan salam rindu pada Tuanku.

“Waalaikumusalam, smpaikn salam sy dari johor kpda Tuanku Permaisuri.

“@rahim5891. @zyeesya, Walaikumsallam Tuanku yg cntik mnis, andainya d beri pluang hnya 1 ku pinta...tringin sngat nk salam..jumpa dngn tuanku permausuri....moga allah pnjngkn umurku n bri ku rezeki tuk bjmpa tuanku.

“@zuuzuliaaa, Waalaikumsalam Tuanku, Salam rindu sumpah comel sangat suara Tuanku, @GurindamHati, Wa'alaikum salam...Patik berharap semoga Tuanku sentiasa sihat sejahtera dlm lindungan Allah SWT.”

Tuanku Permaisuri mengejutkan warganet selepas menutup akaun Twitter baru-baru ini.

Kebanyakan pengguna laman sosial itu beranggapan, tindakan baginda berpunca daripada ciapan beberapa pengguna Twitter yang menurunkan komen negatif termasuk berunsur menghina institusi diraja sebelum ini.

Susulan itu, laporan polis dibuat beberapa individu sejak semalam, selain seorang pengguna dilaporkan sudah pun memuat naik permohonan maaf di laman sosial sama.

Pengguna Twitter yang lain menzahirkan kekecewaan kerana tidak dapat mengikuti perkembangan Tunku Azizah dan merayu supaya akaun itu diaktifkan semula.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 September 2019 @ 7:52 PM