MOHAMMAD Nor Anuar
Ekhwan Haque Fazlul Haque


NIAT pemuda untuk bergelar doktor bakal tergendala jika gagal melunaskan tunggakan bayaran pengajian RM160,000 pada Februari ini.

Dilema itu dihadapi Mohammad Nor Anuar Razali, 25, yang juga penuntut Ijazah Perubatan dan Pembedahan Universiti Zagazig di Mesir selepas buntu untuk mendapatkan bantuan kewangan untuk membiayai kos pengajiannya.

Menurutnya, beliau bakal bergraduat pada Februari tahun depan mungkin tidak dapat bergelar doktor kerana universitinya mahu bayaran penuh pengajian dilunaskan terlebih dulu.

“Saya hanya dapat membayar yuran pengajian untuk tahun pertama pengajian saja.

“Manakala selebihnya masih lagi tertangguh memandangkan saya tidak mendapat sebarang biasiswa atau pinjaman pengajian daripada mana-mana pihak.

“Memandangkan bapa hanya seorang pesara kerajaan, manakala ibu tidak bekerja sudah pasti yuran pengajian tidak dapat dibayar setiap semester kerana sumber kewangan yang terhad,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.

Beliau yang juga anak keempat daripada lima beradik itu berkata, keluarga hanya bergantung sepenuhnya kepada wang pencen bapa dan sebahagian diberikan kepadanya, selain berusaha menjual nasi lemak dan kuih kepada penuntut Malaysia di Zagazig.

Katanya, universiti memberi kelonggaran untuk penuntut meneruskan pengajian walaupun tidak melunaskan bayaran setiap semester, namun menetapkan syarat yuran penuh perlu dilangsaikan untuk bergraduasi.

“Saya berharap ada pihak yang sudi membantu memberikan pinjaman kewangan untuk menyelesaikan yuran dan akan membayarnya apabila mendapat pekerjaan selepas tamat pengajian kelak.

“Pelbagai saluran sudah saya gunakan untuk bantuan sehingga mengambil keputusan untuk menggunakan media sosial bagi membolehkan orang ramai membantu,” katanya yang berasal dari Shah Alam.

Tambahnya, mereka yang ingin menyalurkan bantuan boleh berbuat demikian menerusi akaun Maybank 512101685065 atas nama Mohammad Nor Anuar Razali.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 September 2019 @ 6:30 AM