ABDUL Hamid (tengah) menunjukkan arang batu dicampur kokain yang dirampas. FOTO Mikail Ong
Hadzlihady Hasan


CAMPUR dadah dengan arang batu. Itu taktik terbaru dilakukan sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang mencampurkan kokain seberat 12 tan bernilai RM2.4 bilion bersama arang batu bagi mengaburi polis.

Rahsia itu terbongkar selepas polis merampas kokain dalam tiga kontena yang dicampur bersama 60 guni arang batu dan menahan seorang lelaki berusia 29 tahun pada Op Eagle di Butterworth, Bayan Lepas dan Padang Serai, Kedah 10 September lalu.

Polis yang berdepan kesukaran mengesan dadah dicampur dengan arang itu kemudiannya menggunakan peralatan canggih milik Jabatan Kimia Malaysia.

Malah, dadah itu juga gagal dikesan Unit Anjing Pengesan (K9) Polis Diraja Malaysia (PDRM).


GUNI berisi arang batu dirampas dalam Op Eagle di Butterworth, Bayan Lepas dan Padang Serai. FOTO Mikail Ong

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, aktiviti penyeludupan dadah didalangi sindiket antarabangsa itu menggunakan Malaysia sebagai lokasi transit sebelum bahan terlarang itu dihantar ke negara lain.

“Sindiket ini cuba mengaburi pihak berkuasa dengan menggunakan kaedah baru iaitu mencampurkan dadah ke dalam arang batu yang sukar dikesan menggunakan teknologi dan kaedah biasa.

“Tiga kontena terbabit tiba 16 Ogos lalu dan diisytiharkan membawa arang batu,” katanya pada sidang media di Balai Polis Bayan Baru di sini, semalam.

Menurut beliau, susulan itu, polis menahan lelaki warga tempatan yang menguruskan kontena berkenaan dan dia didapati positif methamphetamine.

“Suspek direman 14 hari sehingga 23 September ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 September 2019 @ 6:45 AM