WONG (kiri) membetulkan topi mortar jubah konvo Felicia yang ditemani Andrea (kanan).
Zuhainy Zulkiffli


“KEDUA-dua anak saya memang cekal hati, tetap mahu belajar ke peringkat tinggi walaupun mereka orang kurang upaya (OKU).”

Demikian kata ibu kepada dua anak OKU, Felicia Pui Jia Yin, 24, dan Andrea Pui Jia Hui dari Sarawak, masing-masing menerima Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian) dan Ijazah Sarjana Muda Sastera (Psikologi) di Upacara Konvokesyen ke-57 Universiti Sains Malaysia (USM).

Ibu penuntut berkenaan, Teresa Wong, 58, berkata, Felicia dan Andrea mempunyai sikap yang sama iaitu suka mencuba dan tidak berputus asa.

Lebih membanggakan, Felicia turut terpilih menerima Hadiah Pingat Emas USM pada upacara itu.

Katanya, walaupun kurang upaya, dia tidak pernah menghalang atau membataskan keinginan anaknya melanjutkan pelajaran.

“Sebagai ibu, sudah tentu saya mahu melihat mereka berjaya dan saya benarkan mereka meneroka sendiri peluang yang ada.

“Hari ini Felicia dan Andrea buktikan keupayaan mereka dan saya akan beri sokongan sekiranya mahu melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi,” katanya ketika ditemui di Georgetown, semalam.

Wong ditemui pada majlis khas meraikan kedua-dua penuntut berkenaan di USM.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor, Prof Datuk Dr Asma Ismail.

Sementara itu, Felicia berkata, dia dan adiknya tidak pernah berenggang sejak kecil dan belajar di kelas yang sama ketika menuntut di Sekolah Menengah St George.

Katanya, dia tidak pernah menduduki sekolah rendah dan mula bersekolah ketika di tingkatan satu pada usia 14 tahun.

Felicia berkata, berikutan kedua-duanya memiliki masalah pandangan terhad sejak lahir, mereka mempunyai harapan yang tinggi dalam kehidupan sebagai OKU.

“Kami meminati bidang muzik dan walaupun tidak dapat membaca not, kami perlu mendengar nada dengan teliti bagi mempelajarinya.

“Seterusnya kami mahu melanjutkan pelajaran dalam bidang yang kami ceburi bagi mencapai cita-cita sebagai penterjemah bahasa,” kata anak sulung daripada tiga beradik itu.

Andrea yang kini mengikuti pengajian Bahasa Perancis, mengakui Felicia menjadi idola dan inspirasi kepadanya.

“Sepanjang pengajian, kami menggunakan aplikasi pembaca skrin, itu antara cabaran yang kami hadapi,” katanya yang mahu menjadi guru muzik.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 September 2019 @ 6:30 AM