MOHAMAD Fazrien dan Ng kini berkawan selepas dihukum penjara sehari dan denda RM1,000 akibat bertumbuk di Plaza Tol Bukit Kiara pada 17 September lalu.
Khairul Najib Asarulah Khan


“KENANGAN 20 September 2019 menjadi memori dan kesedaran pada kami terutama aku...Allah temukan aku dengan Ng Whye Hong untuk memberi pengajaran kepada aku.”

Demikian coretan Mohamad Fazrien Mohd Ziear, 29, di Facebooknya berhubung keakraban dia bersama Ng Whye Hong, 39, selepas menerima dihukum penjara sehari dan denda RM1,000 akibat bertumbuk di Plaza Tol Bukit Kiara, 17 September lalu.

Hukuman itu dijatuhkan Majistret Noorasyikin Sahat pada Jumaat lalu selepas kedua-duanya mengaku bersalah mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan.

Mohamad Fazrien berkata, dia bersama Ng mula berasa menyesal ketika mereka berada di dalam lokap Mahkamah Majistret Kuala Lumpur bersama hampir 50 banduan lain.

“Melihat suasana dan keadaan mereka (banduan) secara langsung timbul keinsafan dalam diri. Saya berada di dalam lokap itu hampir tujuh jam.

“Bayangkan cara percakapan, tingkah laku dan kebersihan diri banduan lain menakutkan saya dengan Ng. Itu saat bermulanya kami berborak dan masing-masing menyesal dengan sikap, emosi serta ego semasa kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohamad Fazrien berkata, sesungguhnya hukuman yang diberikan amat memberi keinsafan buat dirinya dan dia pasti tidak akan mengulangi perkara melanggar undang-udang.

“Walaupun sekejap berada dalam tahanan, saya rasa seperti hilang segala nikmat. Kehidupan boleh ubah sama sekali.

“Ng turut beritahu saya, jika situasi sama berlaku padanya dia tidak akan turun melawan, sebaliknya menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk ambil tindakan,” katanya.

Menurutnya, pengguna jalan raya perlu sentiasa mematuhi undang-undang dan tidak menjadikan sikap ego menguasai diri kerana ia memakan diri sendiri sehingga menjadi samseng jalanan.

“Sentiasalah ingat orang tersayang dan bertimbang rasa serta bertolak ansur ketika di jalan raya.

“Undang-undang dicipta bukan untuk menghukum, namun tujuan utamanya untuk mendidik dan itu yang berlaku terhadap saya,” katanya.

Menurutnya, soal siapa salah, siapa menang dan siapa sakit dalam kejadian itu biarlah menjadi kenangan dan rekod peribadi mereka.

Sebelum ini, pergaduhan mereka tular di media sosial dan rata-rata netizen mencemuh dan mengecam sikap mereka yang tidak dapat menyelesaikan masalah dengan cara berhemah.

Berita berkaitan

'Padah gaduh di plaza tol [METROTV]'

'Dah cedera, kena siasat polis pula'

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 September 2019 @ 9:00 PM